27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Ibu hamil cedera digigit anjing

Serangan itu menyebabkan mangsa menerima rawatan di Hospital Kajang.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG wanita hamil cedera selepas diserang anjing milik jirannya dalam kejadian di sebuah kondominium di Batu 9 Cheras, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada mangsa berusia 35 tahun kira-kira pukul 6.02 petang, semalam.

Menurutnya, siasatan awal dilakukan mendapati kejadian itu berlaku pukul 5.43 petang di tempat letak kenderaan kondominium berkenaan.

“Ketika kejadian, mangsa dikatakan cuba mempertahankan anak-anaknya daripada diserang anjing berkenaan yang menyebabkan haiwan itu menyerang pengadu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, serangan itu menyebabkan mangsa menerima rawatan di Hospital Kajang bagi kecederaan di bahagian tangan yang dialaminya akibat gigitan anjing terbabit.

“Pengadu juga perlu menerima rawatan susulan di klinik gigitan haiwan di Hospital Serdang memandangkan wanita itu sedang hamil.

Advertisements

“Siasatan dilakukan mendapati anjing itu adalah milik dan di bawah peliharaan seorang wanita berusia 38 tahun yang juga jiran mangsa. Semakan dilakukan mendapati wanita itu tidak mempunyai lesen sah untuk memelihara anjing berkenaan.

“Kejadian dikatakan berpunca daripada pemilik anjing terbabit yang cuai terlepas tali pengikat menyebabkan haiwan berkenaan bertindak luar kawalan,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua duanya jika sabit kesalahan.

“Orang ramai yang mahu memelihara anjing di mana-mana premis termasuk rumah persendirian diseru supaya mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan memastikan haiwan peliharaan dikawal rapi supaya kejadian seperti ini tidak berlaku.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Muhammad Fadeli Safii di talian 012-5373134 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

UM mohon maaf berhubung kenyataan penceramah pro-Israel

UNIVERSITI Malaya (UM) memohon maaf berhubung kenyataan kontroversi seorang penceramah jemputan pro-Israel yang menuduh tindakan ahli politik Malaysia menyokong...

Lagi Artikel Berkaitan