BEKAS Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abang Ahmad Urai Abang Mohideen, meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah, Petra Jaya, di Kuching, Sarawak, tengah malam tadi.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir jam 12.30 tengah malam pada usia 89 tahun.
Dilahirkan di Kuching pada 26 Jun 1933, Allahyarham menyandang jawatan Yang Dipertua Dewan Negara dari 12 Julai 1988 hingga 9 Julai 1990.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri menegesahkan perkhabaran sedih itu dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
“Jasa dan bakti beliau selama berkhidmat dan pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat negara.
“Allahyarham merupakan seorang tokoh yang amat disegani serta dihormati dan telah banyak menyumbang masa dan tenaga bersama kita dalam pelbagai program-program di Sarawak.
“Marilah sama-sama kita doakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah swt dan ditempatkan bersama dengan orang yang beriman,” kongsinya.
Jenazah akan diuruskan di kediaman Allahyarham di Jalan Muda Hashim, Petra Jaya.
-EDISI9