31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Annuar cuba menghasut – Puad Zarkashi

Krisis boleh berlaku jika ada yang jadi tukang kipas dan batu api yang mengapi-apikannya

Mesti Baca

DATUK Seri Mohd Puad Zarkashi berkata, Tan Sri Annuar Musa cuba menghasut konon akan berlaku krisis dalaman UMNO berikutan pengguguran Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Puad yang juga Ahli MKT berkata, krisis hanya boleh berlaku sekiranya ada pihak-pihak tertentu yang menjadi tukang kipas dan batu api yang mengapi-apikannya.

Beliau menjelaskan, Tajuddin yang merupakan Ahli MKT lantikan Presiden, bukan dipecat sebaliknya digugurkan untuk digantikan dengan orang lain.

Menurut beliau, menggugurkan orang yang dilantik dan digantikan dengan individu lain adalah perkara normal dan Annuar sudah tentu memahaminya.

“Tajuddin bukan dipecat. Dia MKT dilantik. Dia digugurkan untuk diganti oleh orang lain. Takkan itu pun Annuar Musa tidak faham.

“Annuar cuba menghasut dengan mengatakan tindakan terhadap Tajuddin berisiko cetuskan krisis dalam parti.

“Krisis boleh berlaku bila ada tukang kipas dan batu api yang mengapikannya. Menggugurkan orang yang dilantik dan diganti dengan orang lain adalah normal,” katanya hari ini.

Puad berkata, Annuar sendiri pernah digugurkan sebagai Ketua Penerangan dan perkara sama berlaku kepada Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata, ketika pengguguran mereka tidak langsung timbul krisis dalam parti.

“Siapa kata Tun M (Dr Mahathir Mohamad) tidak pernah pecat orang. (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dipecat sampai hilang jawatan Timbalan Presiden.

“Annuar membisu bila (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) pecat Tajuddin sebagai Pengerusi Prasarana,” katanya.

Beliau berkata, apa yang sebenarnya, mana-mana pemimpin yang melawan keputusan parti memang wajib digugur dan dipecat.

Terdahulu, Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh berkata, tindakan memecat ahli MKT sebelum tamat penggal perkhidmatan bakal membawa parti ke arah krisis dan perpecahan.

Beliau berkata, meskipun ada peruntukan bagi Presiden memecat ahli MKT yang dilantik, namun tindakan itu tidak membawa kebaikan malah jarang dilakukan oleh mana-mana Presiden UMNO.

Katanya, ketika UMNO di bawah Dr Mahathir, terdapat menteri, timbalan menteri dan MKT yg menentang beliau secara terbuka, namun tiada sesiapa digugurkan hanya kerana tidak menyokong Presiden.

Malah Annuar juga mendakwa akan lebih ramai lagi ahli MKT yang akan menerima nasib yang sama dengan Tajuddin kerana tidak sehaluan dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum itu, Tajuddin yang dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia digugurkan sebagai Ahli MKT dan digantikan dengan bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan