25.7 C
Kuala Lumpur
Sunday, June 26, 2022

Ahli UMNO perlu sokong PM, jangan perlekeh beliau – Annuar

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AHLI-AHLI UMNO sewajarnya menyokong kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri apabila berjaya memimpin negara dengan menyelesaikan pelbagai isu yang amat mencabar yang tidak pernah dialami mana-mana perdana menteri sebelum ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan ahli parti yang memperlekehkan Perdana Menteri Kesembilan itu tidak menunjukkan semangat kepartian yang baik.

“Tak malu ke orang parti kita sendiri cuba melemahkan PM (Perdana Menteri) daripada parti kita yang hanya ada 38 kerusi?,” katanya dalam satu sidang media.

Annuar berkata, kepimpinan Ismail Sabri seharusnya mendapat sokongan kerana beliau telah mengendalikan pelbagai isu antaranya mengawal pandemik COVID-19, menguruskan impak kenaikan harga minyak dan menyatukan kerjasama kerajaan dan pembangkang melalui Memorandum Persefahaman (MoU).

“Perkara-perkara ini meletakkan PM Datuk Seri Ismail Sabri dari UMNO dalam situasi yang tidak pernah dialami oleh mana-mana PM lain. Jadi tidak wajar penilaian yang merendah-rendahkan PM dari parti sendiri, PM yang diendors oleh UMNO dan mewakili parti UMNO,” katanya.

Baca juga:   36,000 KIR di Selangor telah terima bantuan RM1,000

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilaporkan melabel Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri daripada UMNO paling lemah dalam sejarah negara kerana didakwa tidak boleh membuat keputusan atau menegaskan kuasanya.

Annuar berkata, walaupun setiap pihak bebas mengeluarkan pandangan peribadi, Nur Jazlan dilihat mempunyai kekurangan (handicap) dalam membuat penilaian itu.

Baca juga:   Annuar rayu orang Kelantan jangan rentas sempadan

“Dia (Nur Jazlan) bukan seorang yang berada dalam kerajaan jadi banyak benda dia tak tahu… dia bukan seorang yang rapat dengan PM, lagilah banyak dia tak tahu, apatah lagi kalau dia ada niat, lagilah dia terpengaruh dengan kecenderungan politik dia.

“Macam mana ada PM mewakili parti yang hanya ada 38 kerusi dan berhempas pulas dengan COVID-19 serta cabaran ekonomi, sepatutnya kita bantu dan bersimpati tetapi sebaliknya ada yang buat tuduhan tidak berasas,” kata Ahli Parlimen Ketereh itu.

Annuar turut mempersoalkan tindakan ahli UMNO yang cuba melemahkan pemimpin daripada parti sendiri sedangkan ada pihak lain yang memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri. – Bernama

Terkini

Potong gaji menteri tak selesai masalah kos sara hidup

CADANGAN supaya gaji menteri-menteri Kabinet dipotong sebanyak 20 peratus oleh bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah...

Lagi Artikel Berkaitan