28.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, December 3, 2022

Agensi pelancongan tipu badal haji boleh ditarik lesen

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

INDIVIDU yang menjalankan aktiviti penipuan berkaitan pakej haji dan umrah boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk lesen operasi syarikat boleh ditarik balik selain agensi pelancongan boleh disenarai-hitamkan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya peka akan isu penipuan badal haji dan membuat pemantauan bagi mengelak pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan ketika umat Islam di negara ini menunaikan ibadah berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan atau mengesan mana-mana syarikat yang melakukan perkara terbabit.

“Sebelum ini kita memang ada mendengar mengenai penipuan badal haji ini, tetapi setakat ini belum terima sebarang laporan lagi.

“Bagaimanapun, (sekiranya ada) kita boleh ambil tindakan mahkamah kerana tindakan yang mereka lakukan keterlaluan, tidak mengikut terma dan syarat pelesenan itu,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau berkata sedemikian selepas menyampaikan sijil kepada 333 graduan pada Majlis Konvokesyen Badan Peneraju Industri Seni Budaya oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Putrajaya, hari ini.

Baca juga:   Hukuman penjara agensi tipu jemaah haji – MATA

Media sebelum ini melaporkan beberapa agensi haji dan umrah menawarkan khidmat mengerjakan badal haji musim ini dengan pelbagai pakej dan bayaran murah antara RM1,700 hingga RM3,000 seorang.

Tawaran harga itu dilihat meragukan serta tidak sepadan disebabkan beberapa peraturan ketat ditetapkan Kerajaan Arab Saudi bagi ibadah umrah dan haji.

Baca juga:   Kesihatan jemaah haji jadi keutamaan pemerintah Arab Saudi

Ini berikutan untuk mengupah penduduk bermastautin di Arab Saudi melakukan ibadah itu, mereka perlu mempunyai permit untuk memasuki Arafah dengan bayaran SR12,000 (RM14,000) seorang berbanding sebelum ini SR2,500 (RM2,900) sahaja.

Selain itu, terdapat gelang khas yang perlu dipakai jemaah haji untuk melepasi pintu di Arafah bagi mengelakkan lambakan jemaah haji di kawasan tersebut.

Badal haji boleh ditakrifkan sebagai ibadah haji yang diupah kepada seseorang untuk dilaksanakan sebagai ganti kerana halangan tertentu seperti sakit, usia tua (uzur) atau kematian ke atas orang yang seharusnya mengerjakan haji.

Orang yang melaksanakan haji badal pula disyaratkan sudah melaksanakan haji untuk dirinya terlebih dahulu.

Nancy berkata, lebih 1,000 agensi pelancongan sedang memohon lesen bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), namun ia perlu melalui beberapa proses sebelum ia boleh diluluskan.

Wartawan

Terkini

Sepasang suami isteri bawa dadah lebih RM9.5 juta ditahan

SEPASANG suami isteri berusia 26 dan 28 tahun ditahan bersama dadah jenis syabu bernilai lebih RM9.5 juta di Kampung...

Lagi Artikel Berkaitan