27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

5G: K-KOMM teliti memorandum Pemuda UMNO – Annuar

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sudah meneliti kandungan memorandum yang dikemukakan Pergerakan Pemuda UMNO berhubung pelaksanaan Projek 5G Kebangsaan oleh Digital Nasional Berhad (DNB).

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, antara perkara yang dibangkitkan dalam memorandum itu, termasuk kos sebenar mengikut pecahan tahunan, peralatan dan kos operasi rangkaian 5G negara.

Malah menurutnya, Pemuda UMNO juga dalam memorandum berkenaan memohon penjelasan terperinci harga jualan secara pukal kepada syarikat telekomunikasi.

“Sehubungan itu, K-KOMM akan membantu memanjangkan salinan memorandum ini kepada Kementerian Kewangan memandangkan kebanyakan perkara yang terkandung dalam memorandum terbabit bukan di bawah bidang kuasa K-KOMM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Annuar berkata, kementeriannya juga mengatur majlis bagi memberikan penjelasan lanjut untuk membantu pihak yang masih tidak jelas berhubung perkara berkaitan terutama yang berada di bawah bidang kuasa kementerian itu.

Menurut beliau, pada masa ini DNB adalah syarikat milik penuh kerajaan yang diletakkan di bawah kawalan dan seliaan Kementerian Kewangan.

“Langkah sedang diambil oleh Kementerian Kewangan untuk menyusun semula struktur pemilikan ekuiti syarikat dan kaedah kawal selia syarikat selaras dengan keputusan terbaru Jemaah Menteri mengenai perkara berkenaan,” katanya.

Semalam, EXCO Pemuda UMNO, Fairuz Jamaludin yang juga Pengerusi Sekretariat Pekerja Pemuda UMNO, mewakili sayap itu menyerahkan memorandum berkenaan kepada Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan