32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

147 undang-undang lapuk akan dikaji dan diteliti

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK 147 undang-undang yang dianggap lapuk akan dikaji dan diteliti, sebagai sebahagian langkah transformasi undang-undang oleh kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau telah mengarahkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri untuk melaksanakan langkah berkenaan.

Menurut beliau, transformasi undang-undang itu perlu disegerakan kerana susulan perubahan masa, undang-undang juga perlu bergerak dan berubah mengikut keadaan semasa bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Sebagai contoh, teknologi digital hari ini semakin pesat membangun. Dalam konteks ini, undang-undang yang sedia ada tidak relevan dengan ledakan teknologi digital, bahkan agak terkebelakang dengan perubahan semasa,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-undang Universiti Malaya, di Dewan Tunku Canselor UM, sini hari ini.g

Turut hadir, tetamu kenamaan yang juga Alumni Fakulti Undang-undang UM, ialah Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Zarinah Anwar; Presiden Pertubuhan Alumni Rumpun Undang-undang University Malaya (PARFUM), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; serta Dekan Fakulti Undang-undang UM, Prof Madya Datuk Johan Shamsuddin Sabaruddin.

Berucap lanjut, Ismail Sabri berkata, antara akta yang akan dikaji dengan teliti ialah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, yang pada pandangan kerajaan hanya melibatkan penguatkuasaan terhadap kegiatan judi di premis, dan bukannya secara dalam talian.

Katanya, seperti yang sedia maklum, beberapa langkah proaktif kerajaan dalam memperkasakan undang-undang di Malaysia,
antaranya; pemansuhan hukuman mati mandatori.

“Ramai yang keliru tentang pemansuhan hukuman mati mandatori yang diumumkan baru-baru ini, seolah-olah hukuman mati telah
dihapuskan.

“Kerajaan tidak menghapuskan hukuman mati, tetapi bergantung kepada kuasa dan budi bicara hakim untuk menentukan sama ada pesalah tersebut dijatuhkan hukuman mati ataupun hukuman pilihan yang lain.

“Objektif ini perlu menjadi asas dan dasar kepada kerajaan dan pembuat polisi dalam hal berkaitan penghukuman suatu jenayah
untuk mencari hukuman yang terbaik, setimpal dan berkesan,” katanya.

Dalam pada itu Perdana Menteri turut mengumumkan penubuhan Yayasan Tan Sri Ahmad Ibrahim, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan tokoh perundangan tersebut, yang pada pandangan beliau bukan hanya disegani dan diiktiraf di Malaysia, bahkan juga di peringkat antarabangsa.

“Untuk merealisasikan hasrat murni ini, Kerajaan bersetuju memperuntukkan RM1 juta bagi tujuan penubuhan Yayasan Tan Sri Ahmad Ibrahim,” katanya lagi.

Selain itu Perdana Menteri turut mengumumkan sumbangan RM500,000 masing-masing untuk Tabung Kebajikan Keluarga Malaysia, serta ASEAN Legal Information Portal atau ASEAN law Guide.-Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan