31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Covid-19: Kemasukan ke hospital meningkat 100 peratus selepas Aidilfitri

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JUMLAH kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam membabitkan kategori 1 hingga 5 serta beberapa indikator kesihatan awam mancatatkan peningkatan 100 peratus pada Minggu Epidemiologi (ME) 19/2022.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya sudah menjangkakan kenaikan kes selepas perayaan Aidilfitri yang disambut meriah pada minggu lalu.

Menurutnya, selain kenaikan mendadak jumlah kemasukan pesakit ke hospital awam, pertambahan berkenaan juga dapat dilihat pada kemasukan di fasiliti kesihatan seperti Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) iaitu bagi setiap 100,000 penduduk ia meningkat sebanyak 38 peratus.

“Kes-kes positif Covid-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan CAC Maya di seluruh negara juga menunjukkan peningkatan iaitu bilangan kedatangan pesakit ke CAC meningkat sebanyak 87.4 peratus, sementara, bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat sebanyak 153.4 peratus.

“Manakala, bilangan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke PKRC atau hospital meningkat sebanyak 28.2 peratus. Malah, trend kes aktif Covid-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya), pada ME 19/2022 menunjukkan peningkatan ketara iaitu meningkat sebanyak 162.4 peratus bersamaan 35,167 kes kepada 13,400 kes berbanding ME 18/2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Noor Hisham lagi, sehingga ME 19/2022, hasil survelan Covid-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati kadar positif sampel Influenza-Like Illness (ILI) bagi COVID-19 meningkat iaitu 6.3 peratus pada ME 18/2022 kepada 7.5 peratus pada ME 19/2022.

“Melihat kepada peningkatan yang mendadak kepada hampir ke semua indikator-indikator berkaitan Covid-19, KKM ingin terus memperingat, menyeru dan menasihatkan semua penduduk Malaysia untuk sentiasa mengikuti nasihat-nasihat yang disarankan oleh kerajaan dalam mengawal dan mencegah penularan jangkitan COVID-19 dalam Fasa Peralihan ke Endemik ini.

“Kenaikan ini dijangka akan meningkat lagi terutama sekiranya masyarakat terus tidak mematuhi nasihat-nasihat dan ketetapan peraturan semasa,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan