27.2 C
Kuala Lumpur
Saturday, September 24, 2022

160 penduduk terima geran hak milik penempatan Desa KEDA

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEGEMBIRAAN berganda terukir di wajah 160 peserta Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) apabila impian memiliki rumah kediaman tertunai akhirnya pada bulan Syawal.

Lebih bermakna bagi mereka apabila geran hak milik penempatan tersebut diserahkan sendiri oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam satu majlis khas di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena, Padang Terap hari ini.

Penyerahan geran itu melibatkan tiga buah kampung iaitu Desa KEDA Bendang Perang, Desa KEDA Kampung Bukit dan Desa KEDA Derang.

Mahdzir berkata, proses pemindahan hak milik dilakukan kepada penduduk selepas membuat penilaian berdasarkan beberapa kriteria dan syarat yang ditetapkan KEDA.

“Antaranya, penghuni di Desa KEDA mesti berdisiplin dan menunjukkan keperibadian yang memuaskan serta tidak melanggar peraturan ditetapkan selain tidak terbabit dengan gejala negatif.

“Jika syarat itu dipenuhi kita akan beri keutamaan untuk mendapat hak milik dimana tanah dan rumah yang dimiliki ini adalah satu aset yang tidak ternilai harganya serta perlu dipelihara untuk diwarisi sehingga anak cucu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Baca juga:   PRK DUN Slim: Dr. Mahathir ibarat ‘Cari sakit. Dapat sakit’
Salah seorang peserta KEDA teruja apabila menerima geran hak milik penempatan.

Tambah Mahdzir, usaha menyerahkan geran hak milik kepada semua peserta Desa KEDA di seluruh Kedah dimulakan pada 2015.

Untuk rekod, KEDA mempunyai 3,862 unit rumah di 44 buah kampung dibawah Program Penempatan Desa KEDA.

Sejumlah 2,778 unit kediaman telah diberikan hak milik oleh KEDA kepada pesertanya.

Baca juga:   KEDA bina 5,173 rumah untuk golongan miskin

“Daripada jumlah itu, KEDA telah selesai melaksanakan proses pindah milik sebanyak 838 unit kepada penduduk yang layak manakala baki 1,940 unit lagi akan dilaksanakan dari semasa ke semasa,” kata Mahdzir.

Hadir sama, Pengerusi KEDA, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Pengurus Besar KEDA, Kamarudin Abd Akib.-Edisi 9

Terkini

Kanak-kanak 5 tahun maut, bapa, kakak parah nahas 2 kenderaan

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dalam kejadian kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jalan Kesang Garing,...

Lagi Artikel Berkaitan