INDIVIDU yang sanggup menjual kad mesin juruwang automatik (ATM) dan akaun perbankan dikesan akan menerima pembayaran di antara RM1,500 hingga RM1,800 oleh sindiket penipuan.
Kemudiannya, kad ATM berkenaan akan dijual kembali oleh sindiket kepada scammer dengan harga RM2,500.
Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pembekal keldai akaun itu di Serdang, Puchong, Gombak, Selangor dan Kuala Lumpur.
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan, dalam operasi itu, pihaknya menahan 10 individu berusia 25 hingga 39 tahun termasuk dua wanita.
“Lapan telefon bimbit, kad ATM (38 keping), kad Sim MYTPG (Singapura) (20 keping) dan sejumlah wang tunai RM3,957 dan kereta antara barangan yang turut dirampas.
“Sindiket dipercayai beroperasi sejak tahun lalu dan pemilik kad disyaki menjual kad ATM mereka kerana terpedaya dengan iklan pinjaman wang dalam laman sosial yang meminta mereka untuk menyerahkan kad ATM sebagai cagaran.
“Kad tersebut dijual kepada sindiket penipuan dengan harga sekurang-kurangnya RM2,500 setiap keping,” katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.
Ujar beliau lagi, sebahagian orang awam yang menjual akaun itu pula dipercayai tidak mengetahui ia digunakan dalam aktiviti jenayah.
Sehubungan itu menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dan sentiasa berwaspada individu yang menawarkan untuk membeli kad ATM di pasaran.
-EDISI9