32.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, August 16, 2022

RUU Antilompat Parti: PN setuju asal frasa ‘lompat’ diperincikan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERIKATAN Nasional (PN) secara keseluruhannya menyokong dan menyambut baik semangat serta matlamat di sebalik cadangan Pindaan Rang Undang- Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, satu sesi libat urus berhubung cadangan Pindaan RUU Perlembagaan (Pindaan) berkaitan anti lompat parti telah diadakan pada 5 April lalu antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) bersama PN.

Menurutnya, dalam sesi libat urus tersebut, PN secara keseluruhannya menyokong dan menyambut baik semangat serta matlamat disebalik cadangan pindaan perlembagaan persekutuan berkaitan anti lompat parti.

“Walau bagaimanapun, bagi memastikan pindaan perlembagaan tersebut dapat mencapai matlamatnya, definisi dan perincian yang lebih jelas perlu dipersetujui bersama terhadap frasa ‘lompat’ dalam apa juga instrumen perundangan yang akan diperkenalkan oleh Kerajaan kelak.

“Pada mesyuarat 6 April lalu, Jemaah Menteri bersetuju bahawa Perkara 10(3) Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda terlebih dahulu bagi memberikan ruang kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat menggubal akta khusus berkaitan anti lompat parti dengan lebih teratur, terperinci dan boleh diterima oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baca juga:   Agong, Permaisuri zahir harapan umat Islam terus bersabar

Hamzah berkata, PN mengambil maklum kesediaan pihak kerajaan untuk membentangkan usul untuk meminda perlembagaan persekutuan terlebih dahulu dalam sidang khas yang akan berlangsung pada 11 April ini.

Menurutnya, keputusan itu adalah satu keputusan Kerajaan yang berhemah dan bertanggungjawab.

Baca juga:   51,631 kes penipuan belian secara online, kerugian RM1.6 bilion

Kabinet sebelum ini memutuskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung Antilompat Parti dan Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri sehingga 10 Tahun, perlu melalui proses penelitian lanjut menerusi sesi perbincangan.

Pertama kali RUU berkenaan dijadualkan untuk dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada 24 Mac lalu iaitu hari terakhir sidang pertama Dewan Rakyat tahun ini.

Terdahulu, awal April ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkongsikan seramai 39 Ahli Parlimen di negara ini telah melompat parti sejak 2018 sehingga kini.

Menurutnya, tindakan melompat parti juga membawa kepada ketidakstabilan politik negara, malah negara telah menyaksikan pertukaran tiga orang Perdana Menteri dalam satu penggal parlimen.

-EDISI9

Terkini

Sindiket penipuan tawaran kerja dalam aplikasi Shopee diserbu

POLIS menumpaskan sindiket penipuan tawaran melalui pusat panggilan (calling centre) dalam aplikasi Shopee, di sebuah kondominium di Jalan Klang...

Lagi Artikel Berkaitan