26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

MRSM lahirkan 194,000 pelajar sejak 50 tahun lalu – Mahdzir

Mesti Baca

MAKTAB Rendah Sains MARA (MRSM) yang menyambut Ulang Tahun Ke-50 penubuhannya telah berjaya mendidik dan melahirkan seramai 194,000 pelajar sejak tahun 1972.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, mencapai usia 50 tahun, MRSM juga telah terbukti melahirkan ramai golongan Bumiputera yang berjaya dalam pelbagai bidang kerjaya.

“Kita merasa amat berbangga dengan pencapaian MRSM melahirkan ratusan ribu pelajar yang cemerlang yang kini menjadi nadi kepada pelbagai sektor dan lapangan kerjaya di negara ini.

“Sistem pendidikan MRSM yang cemerlang ini perlu dipertahankan dan diberi nafas baharu bagi mengekalkan kelestariannya agar sentiasa kekal relevan untuk satu tempoh masa yang lebih panjang lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas MRSM dan Majlis Berbuka Puasa MARA di ibu negara hari ini.

Tambah Mahdzir, bekas pelajar MRSM atau lebih dikenali Anak Sains MARA atau ANSARA, telah berjaya mengungguli sektor kritikal negara terutamanya yang melibatkan bidang sains dan teknologi.

Antara tokoh profesional kelahiran MRSM ialah Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Dekan Fakulti Perubatan KPJ Healthcare University College (KPJUC), Prof Emeritus Datuk Dr. Lokman Saim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UZMA Berhad, Datuk Kamarul Redzuan Muhamed.

“MRSM telah melahirkan ramai tokoh profesional dan usahawan teknokrat di negara ini sejak 50 tahun lalu.

“Secara tidak langsung mereka telah menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih inklusif dan mampan disamping membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia,” katanya.

Sambutan Jubli Emas MRSM itu bertemakan MRSM Mendukung Aspirasi, Mencorak Kecemerlangan Generasi.

Ia disambut sebagai meraikan kegemilangan sistem pendidikan MRSM yang telah dicorakkan dengan jayanya oleh generasi terdahulu.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua warga MRSM dan MARA khususnya kerana telah berjaya menjadikan institusi ini sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan Pendidikan Inovatif bertaraf dunia.

“Penambahbaikan sistem pendidikan berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kaedah-kaedah pembelajaran lain akan turut dilaksanakan bersesuaian dengan peredaran masa bagi menjadikan sistem pembelajaran di MRSM satu model contoh yang diterima di peringkat global kelak,” katanya.

Untuk rekod, MARA kini mempunyai 55 buah MRSM di seluruh negara.

Terbaru, MRSM Ranau dan Bintulu dijangka siap akhir tahun ini dan lima buah lagi akan dibina iaitu MRSM Sik, Ketereh, Tanah Merah, Lawas dan Dungun.

Tahun ini MARA menerima hampir 75,000 permohonan kemasukan ke tingkatan 1 dan 4 MRSM.

Bagaimanapun, MARA hanya mampu menawarkan 9,900 tempat kepada pelajar yang memenuhi syarat dan kriteria pemilihan.

“Untuk tahun-tahun mendatang, kita sedang mengkaji keperluan untuk membuka lebih banyak lagi MRSM bagi memenuhi permintaan yang tinggi saban tahun terutamanya pelajar daripada luar bandar,” kata Mahdzir.

Pada majlis yang sama, Mahdzir turut melancarkan platform baharu MRSM Channel iaitu medium pembelajaran atas talian bagi pelajar mengikuti video pengajaran daripada guru-guru pakar setiap subjek dalam sukatan mata pelajaran. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan