KEADAAN hujan lebat yang berterusan lebih satu jam telah menyebabkan beberapa lokasi di ibu kota dinaiki air dan menyebabkan banjir.
Antara laluan terjejas yang dinaiki air termasuklah di Jalan Segambut, Jalan Kuching, Jalan Pudu, Jalan Ampang dan Jalan Tuanku Abdul Halim.
Keadaan itu juga mengakibatkan trafik di lokasi tersebut sesak teruk.
Pusat Pengurusan Pengangkutan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (ITIS DBKL) dalam kenyataannya berkata, keadaan air naik dengan pantas ini ditambah dengan paras air sungai yang meningkat secara mendadak.
“Banjir kilat serta air melimpah dari sungai telah menjejaskan trafik dengan teruk di Jalan Segambut,” kata jurucakap ITIS.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkongsi ciapan memaklumkan dia turut sama terperangkap dalam kesesakan lalu lintas semasa dalam perjalanan ke Bangsar.
“Saya telah menghubungi pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Saya pun terperangkap dalam kesesakan lalu lintas semasa dalam perjalanan ke Bangsar,” ciapnya hari ini.- Edisi 9