30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kes Bella: Rina, KPWKM sedia menghadap Tunku Mahkota Johor

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia untuk menghadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Che Puan Besar Khaleeda Bustamam bagi mempersembahkan status kes perbicaraan adik Bella.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, beliau menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Tunku Ismail dan isteri baginda atas keprihatinan terhadap kes penderaan adik Bella serta usaha-usaha yang digerakkan dalam pembelaan keadilan buat adik malang itu.

“Sesungguhnya patik amat terharu dengan keprihatinan yang dizahirkan yang sama-sama mengikuti perkembangan kes perbicaraan ini.

“Patik dan rombongan KPWKM bersedia untuk menghadap bagi mempersembahkan status kes perbicaraan adik Bella, dan tindakan-tindakan yang telah disusuli oleh pihak Kementerian dalam membantu perbicaraan kes ini,” katanya dalam Facebook hari ini.

Menurut beliau, titah Tunku Mahkota Johor menawarkan khidmat peguam secara percuma bagi untuk menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi pihak KPWKM untuk kes ini amatlah bermakna buat pihak Kementerian dalam memperkasakan usaha menegakkan keadilan buat adik Bella.

“Kementerian menyambut baik pelawaan ini dan akan bekerjasama rapat dengan pihak peguam yang dititahkan oleh DYAM Tuanku. Menjunjung kasih DYAM Tuanku.

“Buat seluruh Keluarga Malaysia, dalam bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita terus memanjatkan doa semoga urusan perbicaraan kes penderaan adik Bella dipermudahkan dan kebenaran dan keadilan dapat dibuktikan di akhir perbicaraan kelak,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan