29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Kes Bella : Jangan lantang ulas di media sosial

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

HAKIM Mahkamah Sesyen memberi amaran kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang komen di media sosial berkaitan perbicaraan kes pengabaian dan penderaan membabitkan remaja sindrom down dikenali sebagai Bella, yang sedang berlangsung ketika ini.

Amaran itu dikeluarkan Hakim Izralizam Sanusi selepas Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Zilfinaz Abbas memaklumkan kepada mahkamah bahawa orang ramai masih membuat hantaran di laman sosial berhubung kes tersebut seperti Justice for Bella dan ‘Justice for Bella macam mustahil di dunia ini’.

Perkara sama turut dibangkitkan oleh peguam yang dilantik Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Ibrahim, Datuk Baljit Singh Sidhu yang memberitahu hantaran terbabit turut melibatkan officers of the court.

Mahkamah akur dengan semua rakyat Malaysia mempunyai hak kebebasan bersuara, namun, mahkamah mengingatkan terdapat undang-undang yang berkuat kuasa yang boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang dikatakan mengeluarkan kenyataan melampau dalam penulisan, hantaran, komen dan sebagainya.

“Apa yang jelas, mahkamah perlu mengingatkan semua, kebebasan bersuara adalah tertakluk kepada undang-undang yang berkaitan termasuk kandungan, menghina mahkamah dan fitnah.

“Oleh itu mahkamah ingin memberi amaran dan ingatan kepada orang ramai terutamanya yang hadir di galeri awam supaya tidak membuat sebarang komen yang berbentuk fitnah, subjudis atau menghina mahkamah.

“Sekiranya berlaku perkara-perkara tersebut, DPP boleh mengambil tindakan yang sewajarnya dengan merujuk kepada individu-individu terbabit secara spesifik yang membuat hantaran yang jelas melanggar undang-undang yang menghina mahkamah atau subjudis,” katanya pada prosiding hari ini, lapor Astro Awani.

Izralizam menambah, sedangkan keterangan saksi pun belum selesai termasuk saksi kelima, Yasmin Nahar Mahmood yang tidak hadir pada Khamis kerana tidak sihat, namun sudah ada komen-komen yang melampau.

Menurutnya, perbicaraan masih lagi berjalan dan tertuduh masih belum dibuktikan bersalah.

“Kita masih lagi jauh perjalanan untuk memanggil saksi-sakti selain SP5 (saksi pendakwaan kelima) yang masih dalam pemeriksaan balas.

“Simpan komen-komen yang berbentuk subjudis dan fitnah untuk diri sendiri. Jangan untuk dapat followers, untuk baca tetapi menjejaskan perjalanan kes ini,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, mahkamah mengambil maklum kenyataan Baljit Singh, di mana perkara itu turut melihatkan officers of court.

“Kita membuat kerja berdasarkan tanggungjawab masing-masing, DPP membawa kes ini untuk dituduh, peguam mempunyai tanggungjawab membela tetapi berada dalam ruang lingkup undang-undang yang sedia ada.

“Jangan overstep atau melebihi undang-undang. Peguam tertakluk kepada etika, DPP tertakluk kepada undang-undang, publik juga tertakluk kepada undang-undang.

“Saya percaya orang awam dan pihak wartawan boleh memainkan peranan yang penting dengan mengikut kes ini berdasarkan undang-undang sedia ada, jangan membuat komen-komen yang menganggu saksi.

Justeru beliau mengarahkan barisan pendakwaan untuk mengambil tindakan pendakwaan ke atas mana-mana individu secara spesifik dengan merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan.

Selain empat peguam yang dilantik oleh TMJ, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Radzi turut hadir pada prosiding pada Khamis sebagai pemerhati.

Terdahulu, pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan berkenaan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan