29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Jawatankuasa khas kes Adib: Nota kepada Kabinet tidak lama lagi

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

NOTA kepada Kabinet mengenai laporan Jawatankuasa Khas Siasatan Kes Kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim akan diserahkan tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau sudah pun menyediakan nota berkenaan.

“Nota itu berdasarkan laporan interim daripada Jawatankuasa Khas Teknikal Kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang sudah dibentangkan kepada saya selaku pengerusi jawatankuasa khas siasatan,” katanya hari ini.

Ujar Wan Junaidi lagi, siasatan oleh jawatankuasa terbabit masih berjalan, malah beberapa cadangan dikemukakan termasuk memanggil saksi yang sudah kembali ke negara asalnya di Pakistan.

Selain itu, menurutnya, pihak itu juga masih mengumpul beberapa bukti termasuk koleksi video dan gambar kejadian.

“Sebab itu bulan lalu kita minta kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau bukti bergambar serta video kejadian bagi membantu kita melengkapkan lagi siasatan,” katanya.

Beliau menjelaskan hasil laporan itu akan diumumkan apabila diterima Kabinet, kelak.

“Pada masa ini saya tidak boleh dedahkan apa dapatan jawatankuasa dan kita masih ada baki masa siasatan sebelum tempoh enam bulan siasatan itu tamat,” katanya.

Pada 15 Mac lalu, Jawatankuasa Khas Teknikal Kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim membentangkan laporan interim mengenai kes kematian anggota bomba berkenaan, yang mana disiapkan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh jawatankuasa itu ditubuhkan.

Penubuhan Jawatankuasa Khas Siasatan itu dipersetujui pada 8 Disember tahun lalu, dengan mesyuarat pertama diadakan pada 21 Disember.

Jawatankuasa Khas Siasatan juga bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Teknikal yang dapat membantu dalam proses fact finding.

Laporan Akhir akan dikemukakan kepada kerajaan dalam masa enam bulan dari tarikh penubuhannya.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan