BAPA kepada Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin meninggal dunia di Hospital Tengku Fauziah (HTF) susulan mengalami masalah kesihatan hari ini.
Berita pemergian Allahyarham Zainul Abidin Osman, 82, dimaklumkan sendiri oleh Mohd. Asri menerusi Insta Story di laman Instagram drmaza_official petang ini.
“Ayahanda saya baru meninggal (dunia). Doakan keampunan untuk beliau,” kongsinya hari ini.
Sementara itu, jenazah Allahyarham Zainul Abidin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Guar Panji kira-kira dua kilometer dari kediaman Mohd. Asri.
Tiga hari lalu, Mohd. Asri memuat naik status di laman sosialnya memaklumkan keadaan bapanya yang berada dalam keadaan kritikal dan memohon orang ramai mendoakannya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Datuk Idris Ahmad menerusi status di laman Facebooknya turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian bapa Mohd. Asri dan mengucapkan takziah kepada keluarga mereka.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan warga organisasi berkenaan dalam satu hantaran di Facebook turut mengucapkan salam takziah buat Mufti Perlis atas pemergian ayahanda tercinta.
“Semoga Allah SWT merahmati almarhum atas segala jasa yang dicurahkan dan ditempatkan bersama para syuhada, muttaqin dan orang-orang soleh,” kongsinya.
Jenazah Allahyarham Zainul Abidin dibawa pulang ke kediamannya di Musolla Teduhan Doa, Kampung Bilal Udoh, Beseri untuk disembahyangkan.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan berangkat menziarahi serta menunaikan solat jenazah.
Jenazah Allahyarham Zainul Abidin selamat dikebumikan kira-kira pukul 7 malam ini di Tanah Perkuburan Islam Guar Panji di sini.