Sunday, July 19, 2026

Tiada lagi pengeluaran khas KWSP – Tengku Zafrul

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kewangan memberi bayangan tiada lagi pengeluaran khas dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dibenarkan selepas pelaksanaan skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra sebelum ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra sebelum ini merupakan pengeluaran pra-persaraan yang hanya diperkenalkan sebagai langkah sementara.

“Tiga program ini hanya langkah sementara bagi membantu kelangsungan hidup ahli KWSP dalam menempuh impak COVID-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Negara lain seperti Australia, Chile dan Peru juga membenarkan akses awal kepada simpanan persaraan bagi membantu rakyat, tetapi sekarang tidak lagi dibenarkan.

“Singapura pula langsung tidak membenarkan sebarang pengeluaran dana persaraan atas tujuan COVID-19,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Terdahulu, berkenaan dengan perkara berkaitan, Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak mohon kerajaan memahami keperluan rakyat ketika ini berkenaan dengan kewangan.

Dalam masa sama, beliau bersetuju dengan tindakan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) yang menggesa Putrajaya agar membenarkan rakyat mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau dalam satu hantaran di Facebook berkongsi kata-kata oleh Presiden FOMCA, Marimuthu Nadason yang memperjuangkan isu ini demi kesejahteraan rakyat.

“Presiden Fomca Marimuthu Nadason berkata daripada membiarkan rakyat memilih along dan pemberi pinjam wang tidak berlesen yang akan memburukkan lagi situasi, lebih baik rakyat dibenarkan mengeluarkan KWSP mereka.

“Kerajaan perlu faham yang jika rakyat perlu menggunakan wang hari ini, mereka perlukan sekarang kerana ini adalah masa yang kritikal,” kongsi bekas Perdana Menteri itu hari ini.- Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan