JUMLAH mangsa banjir di Kelantan terus menurun kepada 8,107 orang, setakat jam 8 pagi tadi, berbanding 8,545 pada petang semalam.
Mangsa banjir membabitkan 2,664 keluarga itu berlindung di 21 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Pasir Mas dan Tumpat.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 7,415 mangsa banjir ditempatkan di 17 PPS di Pasir Mas, manakala 692 lagi di empat PPS di Tumpat.
Antara PPS masih dibuka di Pasir Mas ialah PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dengan 1,180 mangsa banjir, SK Gua Tinggi (968) dan SK Gelang Mas (808).
Di Tumpat pula ialah PPS SK Sri Tumpat 2 membabitkan 220 mangsa banjir, SK Pengkalan Kubor 2 (260), SK Bunohan (202) dan SK Kelaboran (10).
Cuaca yang agak baik sejak semalam juga menyebabkan tiga PPS di Pasir Mas ditutup berikutan paras air di rumah mangsa telah surut.
Sementara itu, portal eBanjir Kelantan merekodkan 12 jalan masih ditutup kepada semua kenderaan dan kenderaan ringan.
Ia membabitkan lapan jalan di Pasir Mas, Kuala Krai (tiga) dan Tumpat (satu). – Edisi 9