26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Banjir: NADMA keluar notis siap-siaga sejak 23 Februari

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

NOTIS kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana banjir di Pantai Timur telah dikeluarkan sejak 23 Februari lalu kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Menurut beliau, notis itu dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) kepada jawatankuasa bencana negeri-negeri terbabit.

“Antara tindakan drastik lain kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan ialah menyampaikan maklumat, data serta arahan tepat awal dan ia menerima respons positif daripada agensi berkaitan bencana negeri,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di persidangan Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) yang meminta perdana menteri menyatakan langkah-langkah drastik yang diambil oleh kerajaan dalam menangani musibah banjir yang melanda negeri-negeri Pantai Timur pada waktu ini.

Sementara itu, Abd Latiff berkata, operasi menyelamat mangsa banjir di tujuh daerah di Kelantan dan lapan daerah di Terengganu pada 26 Februari lalu hingga semalam dijalankan dalam suasana positif.

“Ia turut mendapat kerjasama baik daripada agensi berkaitan bencana negeri,” katanya.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob akan mengadakan lawatan ke Terengganu dan Kelantan esok bagi meninjau suasana banjir di negeri berkenaan selain mengumumkan bantuan kepada mangsa terbabit.

Mangsa banjir di Terengganu mencatat seramai 17,742 orang daripada 4,557 keluarga setakat 8 pagi ini dengan 141 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka manakala seramai 7,625 orang daripada 2,483 keluarga ditempatkan di 46 PPS di Kelantan. – Bernama

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan