25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

20 kertas siasatan dibuka babit pembekal perkhidmatan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK 20 kertas siasatan dibuka Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ke atas pembekal perkhidmatan mudah alih.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, tindakan berkenaan adalah hasil aktiviti audit pengukuran kualiti perkhidmatan yang dijalankan di seluruh negara pada tahun lalu.

Menurut beliau, setakat ini, dua kompaun dikeluarkan terhadap pembekal perkhidmatan yang tidak mencapai piawaian ditetapkan.

“Satu kompaun yang ditawarkan itu membabitkan sebanyak RM60,000, manakala satu lagi sedang diproses berjumlah RM20,000.

“Kompaun berkenaan membabitkan perkhidmatan Celcom kerana gagal mencapai piawaian di Sabah, dan Unifi Mobile di Melaka serta Pahang,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Steven Choong Shiau Yoon (PBM-Tebrau) mengenai langkah diambil kerajaan memastikan kemudahan internet 4G diperluaskan selepas perkhidmatan 3G ditamatkan.

Sementara itu, Zahidi berkata, SKMM juga telah merancang untuk meningkatkan aktiviti audit pengukuran bermula tahun ini 2022 bagi semua pembekal perkhidmatan di seluruh Malaysia termasuk kawasan pedalaman atau luar bandar.

Menurutnya, sepanjang tahun 2022, sebanyak 3,000 lokasi telah dirancang di seluruh Malaysia bagi aktiviti audit pengukuran ini yang memfokuskan semua lokasi yang pernah menerima aduan liputan dalam tahun 2021.

Ujar Zahidi lagi, sebanyak 2,175 menara baharu akan dibina untuk meluaskan liputan 4G terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Setakat suku keempat 2021, sebanyak 148 menara telah siap dilaksanakan. Sebagai tambahan, sebanyak 5,394 stesen pemancar sedia ada telah dan akan dinaik taraf kepada 4G untuk meningkatkan kualiti liputan kepada pengguna.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,500 stesen pemancar telah siap dinaik taraf,” katanya.

Menurutnya, setakat 25 Januari 2022, sebanyak 1,466 stesen pemancar 3G sedia ada telah dinaik taraf kepada perkhidmatan 4G oleh syarikat penyedia perkhidmatan yang utama iaitu Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile.

“Usaha untuk menaik taraf stesen pemancar 3G sedia ada kepada perkhidmatan 4G akan terus dilaksanakan pada tahun ini dengan seberapa segera menggunakan spektrum sedia ada bagi meningkatkan kapasiti serta kualiti jalur lebar mudah alih kepada pengguna,” katanya.

-EDISI9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan