25.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Lesap di Kemaman lepas langgar lari, ditangkap di Kuantan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEPANDAI-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

Itulah yang boleh disimpulkan ke atas penangkapan seorang lelaki yang “melesapkan” dirinya selepas kes langgar lari sehingga menyebabkan kematian di Kilometer 269 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) di Kemaman, Terengganu dua hari lalu.

Suspek berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan bersama seorang lagi rakan di sebuah inap desa di Jaya Gading, Kuantan, Pahang sempena serbuan Ops Sarang Khas – Jihad Dadah yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuantan, hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu, dalam tangkapan tersebut, hanya suspek sahaja yang terlibat dalam kes langgar lari manakala rakannya itu tidak mempunyai sebarang kaitan dalam kemalangan berkenaan.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan dalam kereta yang digunakan suspek pula, polis menemukan dan merampas dadah jenis methamphetamine seberat 55.20 gram dan syabu seberat 5.14 gram.

“Kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya dalam sidang akhbar Ops Sarang Khas, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuantan, di pekarangan IPD Kuantan, Pahang, hari ini.

Untuk rekod, dalam kejadian pada pukul 1.15 tengah hari kelmarin, kedua-dua suspek yang terlibat dalam kemalangan itu menaiki kereta Perodua Myvi telah melanggar seorang penunggang motosikal sehingga menyebabkan mangsa yang cedera parah di kepala maut di tempat kejadian.

Advertisements

Kedua-dua suspek melarikan diri sebelum kereta dipandunya itu tersadai kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Suspek kemudiannya bertindak nekad apabila melarikan kenderaan jenis Nissan Grand Livina milik seorang lelaki yang berhenti di lokasi tersebut bagi bertanya kepada suspek berhubung tindakan melarikan diri selepas melanggar mangsa.

Wan Mohd. Zahari berkata, polis Kuantan dan Kemaman akan bekerjasama dalam menyelesaikan kes tersebut yang membabitkan suspek berkenaan.

“Kenderaan Nissan Grand Livina yang dicuri dan ditinggalkan juga telah dijumpai dan diserahkan kepada polis Kemaman untuk siasatan lanjut.

“Kes di Kemaman itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan