25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Cemas, mata kanak-kanak terkena ‘gam tiga saat’

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG kanak-kanak berusia dua tahun dikejarkan ke Jabatan Kecemasan sebuah hospital selepas matanya terkena ‘gam tiga saat’ yang dipegang ibunya.

Insiden berkenaan dikongsikan Pegawai Perubatan Oftalmologi, Dr Syaz melalui akaun Facebook Syed Abu Zulfadhli Al-Qadrey Ahad lalu.

Menurutnya, kejadian berkenaan berlaku ketika ibu kanak-kanak tersebut melakukan kerja di rumah serta memanjat kerusi bagi memasang hiasan pada rumah.

“Anaknya girang bermain di kerusi ibunya, memegang kerusi tak nak ibunya jatuh. Tanpa sedar ‘gam tiga saat’ yang dipegang ibu tertumpah ke bawah dan terkena pada seluruh muka anaknya.

“Allahuakbar, pantas ibu membasuh muka anaknya dan dibawa terus ke hospital. Namun gam tiga saat memang susah nak hilang, terkena kulit tangan kita pun ia cepat mengeras dan sangat sukar dicuci, apatah lagi kena pada kulit muka dan mata,” kongsi doktor berkenaan.

Menurut Dr Syed Abu Zulfadhli lagi, ketika melakukan pemeriksaan, mata kanak-kanak berkenaan cuba dibuka.

“Bulu mata semua dipotong kerana semuanya melekat antara satu sama lain. Namun kekuatan gam itu benar-benar terbukti, tiada hasil.

“Kedua-dua belah kelopak mata melekat atas dan bawah. Usaha diteruskan dengan meletakkan gel petroleum khas untuk mata,kami berikan masa untuk ibu sapukan sepanjang malam dan tengok semula esok berkesan atau tidak,” kongsi beliau.

Tambah doktor itu lagi, keesokkan harinya, si ibu datang ke hospital berkenaan dengan wajah muram.

“Mata anaknya masih tidak terbukak. Gam pada pipi dan muka nampak menipis dan tertanggal, namun pada matanya sama sahaja.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan lama, kerana kanak-kanak jika dibiarkan kedua-dua mata tertutup pada tempoh yang lama, ia boleh menjadi punca kepada mata malas, mengakibatkan penglihatan yang kurang sempurna seumur hidupnya.

Menurut beliau, keputusan dibuat untuk melakukan pembedahan secara bius penuh dan keluarga setuju.

“Alhamdulillah, dalam dewan bedah lebih mudah untuk buang gam pada matanya, kerana pesakit sudah tidak meronta-ronta.

“Ada kecederaan pada dalam mata juga kerana gam tersebut masuk ke dalam matanya, tak sempat anak itu nak tutup mata sebab tiba-tiba tertumpah atas mukanya. Alhamdulillah pesakit semakin sembuh.

Menurut doktor berkenaan, perkongsian tersebut adalah sebagai peringatan bersama.

“Perkara ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, malang tidak berbau. Sentiasa berhati-hati ketika melakukan kerja dengan gam gajah atau gam tiga saat(superglue) terutama apabila ada kanak-kanak disekeliling.

Doktor tersebut turut berkongsikan tips menghilangkan kesan gam berkenaan pada kulit dengan basuhan air suam dan sabun atau menggunakan gel petroleum seperti Vaseline.

Bagaimanapun disebabkan kes berkenaan berlaku di kawasan mata, pihaknya menggunakan produk khas dibuat untuk mata supaya tidak pedih jika termasuk dalam mata.

Perkongsian tersebut menjadi tular dan mendapat lebih 2,000 reaksi serta dikongsikan lebih 7,000 pengguna Facebook.

-EDISI9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan