28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

308,726 saman sepanjang Op Selamat Tahun Baharu Cina

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK 308,726 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan sepanjang Op Selamat 17/2022 sempena Tahun Baharu Cina selama 10 hari berakhir kelmarin, berbanding 271,168 saman sepanjang Op Selamat 16/2020.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata ia menunjukkan peningkatan 37,558 saman atau 14 peratus dalam operasi berkenaan.

Menurut beliau, Op Selamat 17/2022 turut mencatatkan 11,325 kes kemalangan, berbanding 15,382 menerusi Op Selamat 16/2020, sekali gus menunjukkan penurunan sebanyak 26 peratus.

Jumlah kemalangan maut pula merekodkan sebanyak 108 kes menerusi Op Selamat tahun ini, berbanding 133 kes sama pada Op Selamat 16/2020 yang menunjukkan penurunan 25 kes atau 19 peratus.

“Jumlah kematian direkodkan sebanyak 119 dan 149 kes masing-masing pada Op Selamat tahun ini dan 2020, menunjukkan penurunan sebanyak 20 kes atau 20 peratus.

“Penunggang dan pembonceng motosikal kekal menjadi penyumbang utama kes kematian direkodkan sepanjang Op Selamat kali ini dengan 82 kematian berbanding operasi sama pada 2020 iaitu 97 kematian membabitkan individu berkenaan yang menunjukkan penurunan 15 kematian atau 15 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Acryl Sani berkata, Op Selamat tidak tertumpu kepada keselamatan jalan raya semata-mata, sebaliknya ia merangkumi keselamatan rumah ditinggalkan sempena sambutan perayaan berkenaan.

Sebanyak 84,687 rondaan dibuat di rumah dan premis ditinggalkan menerusi Op Selamat kali ini.

“Taburan jenayah pecah rumah bagi seluruh negara mencatatkan 326 kes iaitu penurunan sebanyak 35 peratus berbanding 502 kes sebelumnya.

“Polis juga berjaya menjalankan beberapa siri tangkapan terutama dalam Op Samseng Jalanan dan Op Mabuk yang menjadi kegusaran masyarakat ketika ini.

“Beberapa operasi dijalankan dan seramai 351 orang berjaya ditangkap menerusi Op Samseng Jalanan dengan 37 individu didapati positif dadah, manakala seramai 204 orang ditahan mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol,” katanya.

Selain itu, Acryl Sani berkata, Polis Negeri Sembilan memenangi Anugerah Kontinjen Terbaik di atas pencapaian memberangsangkan sepanjang Op Selamat 17/2022.

Polis Sarawak dan Kedah masing-masing di tempat kedua serta ketiga manakala bagi peringkat daerah, Polis Hulu Terengganu mengungguli tempat pertama, diikuti Polis Daerah Bentong di tempat kedua disusuli Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ketiga.

“Kelancaran Op Selamat 17/2022 ini adalah kejayaan bersama semua pihak yang terbabit secara langsung dan sebaliknya.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan