24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Tuanku Muhriz titah pakar-pakar rangka program pascabencana

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

YANG di-Pertuan Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menggesa pakar dalam pelbagai bidang seperti kesihatan, akademik dan agama bekerjasama merangka program khas pascabencana.

Titah baginda, ini bertujuan membantu masyarakat mengatasi kesan emosi negatif susulan pandemik COVID-19 dan bencana banjir luar biasa, agar dapat mengukuhkan semula semangat serta kesihatan minda mereka.

“Bencana dan musibah yang melanda, menyebabkan perubahan luar biasa berlaku secara mendadak dalam kehidupan dan persekitaran.

“Ini tidak harus dipandang remeh kerana kesannya boleh membawa kepada tekanan perasaan, fobia, kegelisahan dan kemurungan. Mereka yang menghadapi masalah seperti ini perlu melalui program berbentuk sokongan emosi dan kaunseling.

“Oleh itu, beta berpandangan, pakar dalam pelbagai bidang seperti kesihatan, akademik dan agama harus bekerjasama merangka program khas pascabencana untuk membantu masyarakat yang terkesan,” titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah, pada Istiadat Pengurnian Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan Ke-74 baginda di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah hari ini, lapor BH Online.

Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Advertisements

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan isteri, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof.

Tuanku Muhriz bertitah, cabaran berdepan COVID-19 belum berakhir dan semua individu perlu terus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan, agar jangkitan virus berkenaan dapat dihentikan.

“Belum pun reda dengan COVID-19, kita diduga pula dengan musibah banjir luar biasa sehingga menyebabkan kemusnahan harta benda.

“Namun, kerajaan berjaya menguruskan keperluan dan bantuan kepada rakyat yang terjejas akibat banjir,” titah baginda, yang melahirkan rasa bangga dengan rakyat Negeri Sembilan, tanpa mengira kaum dan agama, bersatu-padu membantu antara satu sama lain, ketika berdepan bencana banjir.

Seramai 410 individu hari ini menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan ke-74 baginda hari ini.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain mendahului senarai penerima, dan dianugerahkan Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Negeri Sembilan berlangsung dalam tiga sesi dengan sesi pertama pada hari ini membabitkan 107 penerima, sesi kedua pada 22 Januari dan sesi ketiga pada 27 Januari.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan