25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Lelaki hilang ketika berkayak ditemui mati lemas

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG lelaki ditemui mati dipercayai lemas selepas kayak dinaikinya terbalik di perairan negeri ini kira-kira 3.0 batu nautika berhampiran Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau Jambatan Kedua Pulau Pinang malam tadi.

Mayat mangsa, Tony Liew, 48, dari Taman Alma, Bukit Mertajam di sini ditemui oleh rakannya dalam keadaan terapung dan masih memakai jaket keselamatan kira-kira pukul 8.45 malam.

Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan daripada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Langkawi berhubung seorang lelaki hilang ketika berkayak di perairan Batu Kawan di sini kira-kira pukul 7.20 malam.

“Sehubungan itu, operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) diaktifkan dengan mengatur gerak bot KILAT 4 ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian.

“Operasi Carilamat turut melibatkan Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Polis Marin Batu Uban dan rakan mangsa yang turut berkayak di sekitar kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abd. Razak berkata, berdasarkan keterangan rakan mangsa, dia bersama beberapa rakan lain melakukan pencarian di perairan Batu Kawan sekitar pukul 6 petang selepas mangsa gagal dihubungi.

“Rakan-rakan mangsa kemudian menjumpai kayak yang dinaiki mangsa dalam keadaan terbalik, namun lelaki itu tidak kelihatan sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, Abd. Razak menasihati orang ramai agar menitikberatkan keadaan semasa laut dan cuaca terkini sekiranya mahu melakukan sebarang aktiviti reakrasi di laut serta dilakukan secara berkumpulan bagi memastikan keselamatan sentiasa terjamin.

Beliau berkata, orang awam diminta melaporkan sebarang penemuan dan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut dengan menghubungi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

-EDISI9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan