26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

KPLB letak sasaran segerakan projek pembangunan tahun ini

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) meletakkan sasaran tahun 2022 sebagai tahun menyegerakan setiap projek pembangunannya di luar bandar.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, KPLB perlukan anjakan paradigma dalam proses kerjanya bagi mengelakkan tempoh masa terlalu lama diambil dalam pelaksanaan projek sehingga menjejaskan kepentingan rakyat.

“Sekarang ini masa untuk kita fikirkan dengan dunia teknologi digital, bagaimana kaedahnya untuk kita mempercepatkan proses pelaksanaan projek, bagaimana kita nak buat, sekarang ni kita tak boleh buat, semua orang kata sekarang tak boleh buat, jadi bagaimana kita nak mengubah paradigm ini.

“Ini menjadi satu cabaran baharu kepada kita untuk nak mempercepatkan proses dan Insya Allah kita boleh sampaikan kepada rakyat lebih baik kalau kita sama-sama dapat memikirkan, sebab kita nak masuk tahun baharu, kita nak masuk dalam RPII (Rolling Plan 2) Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 KPLB di Putrajaya hari ini.

Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 yang dihadiri oleh para pegawai kanan KPLB dan agensi-agensi di bawahnya di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun, ketua-ketua agensi dan pengurusan tertinggi KPLB.

Sehubungan dengan itu, Mahdzir menyeru, semua warga KPLB perlu bergerak sebagai satu pasukan untuk merealisasikan anjakan paradigma untuk mengelakkan daripada terus berada di dalam kepompong yang sama.

“Jadi bagaimana kita nak capainya, sudah tentulah kita memerlukan satu pasukan task force yang benar-benar boleh deliver untuk mencapainya, saya fikir kita semua berada dalam satu pasukan sama ada di kementerian ataupun di agensi, di Bahagian Prasarana, Kesejahteraan Rakyat, pasukan teknikal ataupun di MARA, FELCRA, RISDA, JAKOA, KEMAS atau di agensi wilayah KEJORA, KETENGAH, KESEDAR, PERDA dan juga KEDA di Kedah.”

Untuk ke arah itu, beliau berkata, KPLB perlu meningkatkan lagi pencapaiannya dengan meletakkan tagline baharu iaitu “Luar Bandar, Luar Biasa”.

Pencapaian luar biasa itu katanya, boleh digapai oleh KPLB berdasarkan kejayaan melaksanakan perbelanjaan pembangunan lebih 99 peratus pada tahun lalu.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, KPLB mempunyai mandat dalam bidang pendidikan iaitu Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional, TVET.

“Sudah sampai masanya semua kementerian berkaitan duduk bersama dalam satu task force untuk memikirkan pelan Pendidikan Awal Kanak-kanak 2.0 supaya lebih sesuai dengan keperluan dan perkembangan dunia semasa. Antaranya termasuk menaiktaraf Guru Tabika KEMAS lulusan Diploma kepada Ijazah Sarjana Muda.

“Bagi bidang pendidikan TVET pula, institusi TVET KPLB perlu mengelakkan terlalu banyak pertindihan kursus yang sama dan tidak bersesuaian dengan kehendak pasaran pekerjaan.

“Kita tidak mahu timbul masalah pelajar ambil kursus kemudian dapat sijil tetapi tidak mendapat pekerjaan. Kita tidak boleh ambil pendirian hanya mahu penuhkan institusi pengajian tetapi tidak dapat memenuhi kehendak industri,”katanya.

Ujar beliau lagi, peningkatan capaian internet di sekolah Tadika KEMAS perlu juga ditekankan yang sekaligus akan membolehkan kawasan sekitarnya mendapat manfaat.

“Kita kena fikir juga di luar macam mana kita nak buat, macam mana kita nak bekerjasama supaya kita dapat, setidaknya kita dapat meningkatkan kesalinghubungan di sekolah-sekolah KEMAS yang ada di seluruh negara.

“Sekolah KEMAS ada 11,000, kalau kita ada 5,000 kesalinghubungan capaian internet pun sudah ada banyak tempat orang kampung dikeliling boleh menggunakan, ada kaedah dan ada caranya, cumanya kita kena ada sedikit usaha yang diluar daripada peraturan yang sedia ada, kalau kita fikir yang sedia ada itu sahaja kita tidak akan dapat dan masyarakat akan tertinggal begitu sahaja di luar bandar,” jelas Mahdzir. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan