31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

TMJ tunai hasrat pesakit jantung terbalik ke Legoland

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

HASRAT seorang kanak-kanak jantung terbalik mahu menjejakkan kakinya ke taman tema Legoland sebelum akhir hayatnya mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Mohd Adam Amsyar, 9, dari Kampung Parit Haji Ahmad, Pontian yang dilapor menderita penyakit jantung terbalik atau Mitral Valve Atresia yang menyebabkannya sering sesak nafas serta keletihan.

Menerusi satu ciapan di Twitter, baginda berkenan untuk segera menyalurkan bantuan bagi membolehkan kanak-kanak malang itu dapat memenuhi impiannya.

“Saya akan minta laporan dan salurkan bantuan dengan segera. Salam Jumaat,” ciap baginda hari ini.

Mitral Valve Atresia adalah kecacatan jantung kongenital yang amat jarang berlaku, di mana injap mitral jantung tidak dapat berfungsi dengan betul.

Terdahulu, BH Online melaporkan bapa Adam, Abd Rahman Ahmad berkata, penyakit anaknya hanya dapat dikesan ketika usianya tujuh tahun dengan pakar meramalnya tidak mempunyai jangka hayat yang panjang.

Bapa tunggal itu berkata, doktor pakar hospital awam yang merawat anaknya memaklumkan penyakit itu bukan sahaja amat jarang berlaku malah hanya tiga pesakit sahaja termasuk anak bongsunya, dikesan menderita penyakit berkenaan di negara ini.

Sementara itu, Adam yang sebak ketika bapanya menangis menceritakan penderitaan ditanggungnya berkata, dia sangat sayangkan bapanya itu yang sering berusaha menggembirakan hatinya walaupun kehidupan mereka susah.

“Saya ada beritahu ayah teringin ke Legoland di Johor Bahru sebelum akhir hayat saya, dan ayah berjanji bekerja lebih gigih bagi mencari wang untuk bawa saya.

“Kalau tak pergi Legoland pun tak apa, sebab bersama ayah pun dah gembirakan hati saya,” katanya memetik laporan media itu.

Dalam pada itu, Legoland Malaysia turut menyatakan hasrat untuk membantu menunaikan impian Adam.

Memetik laporan Metro Online, wakil Legoland Malaysia sedang menguruskan perincian bagi membolehkan Adam dan keluarganya dibawa ke taman tema berkenaan dalam masa terdekat.

“Legoland Malaysia terharu membaca kisah Mohd Adam Amsyar dan mahu menunaikan impiannya.

“Kami sedang memproses beberapa butiran lanjut termasuk prosedur operasi standard (SOP) berikutan keadaan Mohd Adam Amsyar yang tidak boleh berjalan jauh dan cepat letih.

“Insya-Allah impian adik Mohd Adam Amsyar akan kami tunaikan dalam masa terdekat,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan