28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Tiada keperluan untuk pengeluaran wang KWSP – CUEPACS

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KONGRES Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berpandangan tiada keperluan membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sekiranya ada cadangan berkenaan perkara terbabit.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat berkata, ekonomi negara semakin pulih dan kembali berkembang manakala kerajaan tidak lagi mengenakan sekatan ketat terhadap pelbagai sektor.

Menurut beliau, sehingga kini kerajaan telah membenarkan beberapa siri pengeluaran wang KWSP kepada rakyat melalui kemudahan i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM101.1 bilion.

“Pada peringkat awalnya CUEPACS bersetuju dengan langkah ini kerana ia mampu memulihkan ekonomi rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ekoran pandemik Covid-19.

“Wang tersebut sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada rakyat yang terkesan termasuk penjawat awam yang mencarum KWSP serta pasangan mereka yang mungkin terjejas.

“Bagaimanapun setelah hampir dua tahun kita berhadapan dengan pandemik Covid-19, keadaan ekonomi negara semakin pulih dan kembali berkembang apabila kerajaan tidak lagi mengenakan sekatan yang ketat kepada sektor ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, setelah mengambil kira faktor-faktor tersebut, CUEPACS berpandangan tiada lagi keperluan untuk kerajaan membenarkan kemudahan untuk mengeluarkan wang simpanan KWSP pekerja.

“Data yang dikeluarkan KWSP turut memaklumkan bahawa 50 peratus ahli KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

“Ini amat membimbangkan dan memberi kesan yang lebih besar sekiranya kebenaran pengeluaran diberikan sekali lagi.

“Matlamat utama KWSP adalah untuk memastikan para pekerja mempunyai simpanan yang mencukupi bagi kegunaan selepas persaraan atau hari tua kelak.

“Jika pengeluaran secara besar-besaran ini terus dilakukan walaupun ekonomi negara telah kembali pulih, sudah tentu ia akan menjejaskan matlamat asal KWSP.

“Kesannya kelak ramai yang akan bersara dengan jumlah simpanan KWSP terlalu rendah dan mungkin akan menjadi pesara yang miskin, seperti dinyatakan oleh KWSP kira-kira 50 peratus ahli yang memiliki simpanan kurang RM10,000 itu hanya boleh berbelanja RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun persaraan.

“Kita tidak mahu kesannya menjadi lebih berpanjangan pada hari tua kelak kerana sepatutnya pesara ini harus hidup dengan lebih sejahtera,”katanya.-Edisi 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan