25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

PM umum peruntukan RM48.52 juta untuk pembiayaan mikro

Kerajaan juga menyediakan peruntukan RM25 juta untuk transformasi 50 pasar malam utama di seluruh negara

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM48.52 juta bagi program pembiayaan mikro bagi keperluan penjaja dan peniaga kecil.

Menurut Perdana Menteri, peruntukan itu sebagai tanda komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan golongan terbabit.

Beliau berkata, melalui inisiatif ini, Keluarga Malaysia dalam kalangan
penjaja dan peniaga kecil boleh memohon pembiayaan secara syariah dengan kadar keuntungan kosong peratus (0%) daripada Bank Rakyat iaitu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bagi menambah baik dan membangunkan semula
perniagaan sedia ada.

“Pembiayaan yang dimohon boleh digunakan bagi tujuan pemulihan perniagaan seperti modal pusingan, pembelian peralatan/perkakasan, bayaran gaji, bayaran sewa, bil utiliti dan lain-lain.

“Tiada sebarang kadar keuntungan dikenakan ke atas penerima biaya sebaliknya hanya kos pengurusan akan dikenakan sebanyak 1 peratus atas kutipan yang diterima,” katanya.

Ismail Sabri Yaakob pada majlis sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Keluarga Malaysia Peringkat Kebangsaan dan Pelancaran Program Transformasi Pasar Malam di Putrajaya hari ini. Hadir sama Noh Omar dan Reezal Merican Naina Merican.

Perdana Menteri mengumumkan perkara itu pada majlis sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan (HPPK) tahun 2021 dan Pelancaran Program Transformasi Pasar Malam di Putrajaya hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Ismail Sabri berkata, nilai pembiayaan bagi program itu adalah antara RM10,000 hingga RM50,000 dengan tempoh bayaran balik sehingga lima tahun.

“Jadi saya menyeru kepada Keluarga Malaysia untuk mengambil
peluang yang ditawarkan ini bagi kelangsungan perniagaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, selaras dengan konsep kebersamaan yang diketengahkan dalam Konsep Keluarga Malaysia, kerajaan sentiasa
komited dalam menjaga kebajikan rakyat.

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi pelaksanaan Transformasi Pasar Malam secara berperingkat di 50 tapak pasar malam utama seluruh negara mulai tahun depan.

Beliau berkata, Program Transformasi Pasar Malam yang diusahakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu, akan mengetengahkan pelbagai elemen norma baharu yang mementingkan komponen kesihatan dan keselamatan seperti penugasan ‘Marshal
Pasar Malam’ bagi meningkatkan kembali keyakinan rakyat.

“Untuk itu, semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kerajaan negeri diharap dapat mengadaptasi pendekatan Transformasi Pasar Malam ini di seluruh negara.

“Ini kerana pasar malam merupakan satu medan kepada rakyat mendapatkan keperluan harian dengan mengurangkan peranan orang tengah,” katanya. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan