BAGI memastikan Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia dapat memenuhi keperluan semua golongan, pihak penganjur turut menyediakan perkhidmatana jurubahasa isyarat bagi keperluan golongan kurang upaya (OKU).
Ini kerana mereka menyedari karnival yang sedang berlangsung sehingga hari ini bakal dikunjungan bukan sahaja mereka yang normal tetapi golongan OKU untuk mencari pekerjaan.
Dengan adanya jurubahasa tersebut, memudahkan golongan terbabit untuk mendapatkan maklumat kerjaya, menjalani temuduga serta berinteraksi dengan orang ramai.
Salah seorang pencari kerja golongan OKU, Fairan Nafiz Mihat, 32, berkata, karnival kerjaya tersebut memberi kemudahan bagi golongan sepertinya.
“Sebelum ini, sudah beberapa kali saya menghadiri temu duga pekerjaan menerusi karnival kerjaya, namun tidak ada khidmat jurubahasa disediakan.
“Apabila akses kemudahan itu tidak ada, memang agak sukar dan kemudiannya saya rasa kecewa kerana sehingga kini belum ditawarkan bekerja.
“Pernah saya pergi temu duga, orang pandang lain, mungkin sebab keadaan saya (OKU). Ada juga majikan yang tak mahu ambil pekerja OKU,” katanya ketika ditemui di sini.
Bapa kepada seorang anak yang mengalami masalah pendengaran itu berkata, apabila dapat tahu penganjuran Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia hari ini, dia terus datang untuk mencari peluang kerja.
“Kalau ada yang sesuai dengan bidang saya, boleh juga mencuba. Sekarang ini, saya hanya bekerja sebagai pemandu Grab. Pendapatan pun tidak menentu.
“Hari ini, saya cuba melihat pekerjaan yang sesuai dengan pengalaman yang saya ada sebelum ini, ditambah pula akses kemudahan yang diterima daripada khidmat jurubahasa.
“Mungkin ia akan dapat membantu, dan memberi peluang cerah kepada saya untuk mendapatkan pekerjaaan selepas ini,” katanya yang turut hadir bersama isteri, Nur Farhana Halim, 31, yang juga OKU pendengaran.
Sementara itu, Ketua Cawangan Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kuala Lumpur, Nurul Nadia Md Arif berkata, PERKESO berharap golongan OKU dapat memanfaatkan segala peluang ditawarkan di karnival tersebut.
“Seperti karnival hari ini, memang terbuka kepada semua golongan. Banyak peluang pekerjaan ditawarkan termasuk kepada golongan OKU yang hadir dalam mendapatkan akses peluang pekerjaan, sekali gus meningkatkan penyertaan mereka dalam pasaran pekerjaan tempatan,” katanya.
Menurut beliau, penganjuran Karnival Kerjaya anjuran pihaknya tidak terhenti di sini sahaja, malah Perkeso juga akan menganjurkan satu lagi karnival kerjaya khas untuk OKU pada Selasa ini di Dewan Tun Dr Ismail, PWTC Kuala Lumpur.
“Lebih 1,967 peluang kerjaya menanti pencari kerja dalam kalangan golongan OKU dengan penglibatan sebanyak 16 majikan daripada pelbagai sektor termasuk syarikat besar dan ternama seperti AEON dan Padini Holding Bhd,” katanya.- Edisi 9