31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Ujian calitan hidung tidak dibenarkan di sekolah – KPM

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini menegaskan bahawa pelaksanaan saringan ujian COVID-19 di semua sekolah di bawah kementerian berkenaan perlu menggunakan kit ujian air liur sahaja.

Menurut KPM, penggunaan kit ujian secara calitan hidung adalah tidak dibenarkan dan tidak selaras dengan arahan kementerian melalui surat bertarikh 28 November lalu.

“Pengurusan ujian kendiri COVID-19 bagi murid sekolah KPM dilaksanakan mengikut ketetapan dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

“Selaras dengan Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan, KPM pada 28 November mengeluarkan surat pemakluman berkenaan pelaksanaan ujian saringan COVID-19 bagi murid sekolah rendah yang dibuat secara penggiliran, sekurang-kurangnya 10 peratus murid.

“Berdasarkan surat siaran ini, pelaksanaan ujian kendiri hanya membabitkan penggunaan kit ujian air liur yang dibekalkan oleh KPM,” kata kenyataan kementerian hari ini.

KPM berkata, pelaksanaan ujian kendiri itu dilakukan sendiri oleh murid dengan pemantauan guru.

Mengenai gambar yang menunjukkan guru menjalankan ujian calitan hidung di sebuah sekolah di Pahang baru-baru ini, KPM berkata, ia hanyalah bagi tujuan demonstrasi semata-mata.

KPM berkata, pihaknya telah membuat siasatan ke atas gambar yang tular sejak kelmarin itu dan mendapati ia melibatkan ujian saringan COVID-19 yang dilaksanakan di sekolah berkenaan.

“Dalam ujian saringan itu, seramai 16 murid dipilih secara rawak untuk menjalani ujian saringan COVID-19 menggunakan kit ujian air liur.

“Demonstrasi calitan hidung turut dilaksanakan membabitkan empat guru dan empat murid dengan dibimbing oleh dua Jururawat Masyarakat,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan