27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Bantuan Banjir Keluarga Malaysia cecah nilai RM1.4 bilion

Mesti Baca

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang bernilai keseluruhan sebanyak RM1.4 bilion akan disalurkan secara komprehensif, berkesan dan menyeluruh kepada mereka yang terjejas.

Menurut Perdana Menteri, ia meliputi bantuan tunai laingsung, pembiayaan peribadi dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta kemudahan pembaikan, pembersihan rumah serta insfrastuktur awam.

BANTUAN WANG IHSAN

Beliau berkata, di bawah inisiatif itu kerajaan telah melaksanakan beberapa penambahbaikan berhubung Bantuan Wang Ihsan (BWI) termasuk menaikkan jumlah bantuan kepada RM1,000 bagi setiap keluarga isi rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir.

BWI itu, jelas beliau, disalurkan kepada semua KIR yang terkesan termasuk mereka yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) serta boleh dituntut setiap kali bencana banjir menimpa berbanding sebelum ini hanya sekali semasa Monsun Timur Laut.

Beliau berkata, kerajaan juga memberikan BWI sebanyak RM10,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia akibat bencana banjir dan bantuan tersebut telah diagihkan kepada mangsa-mangsa sejak 27 Disember lalu.

Perdana Menteri berduka dengan bencana banjir yang menimpa beberapa negeri sehingga mengorban nyawa.

“Menyedari mangsa-mangsa banjir memerlukan wang tunai, kerajaan-kerajaan negeri telah membuat bayaran BWI yang telahpun bermula pada 27 Disember yang lalu dan dijangka selesai minggu ini.

“Bagaimanapun Selangor dan Pahang mungkin sedikit lewat berikutan melibatkan jumlah mangsa yang ramai,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau telah mengarahkan pihak-pihak berkaitan agar mempermudahkan urusan pembayaran tanpa sebarang birokrasi atau tanpa perlu mengisi pelbagai borang seperti sebelum ini.

Katanya, setakat data terkini, lebih 30,000 KIR telah didaftarkan untuk menerima BWI manakala RM34 juta peruntukan awal BWI telah disalurkan kepada 11 buah negeri sementara 25 waris mangsa meninggal dunia pula telah menerima bantuan RM10,000.

KERJA-KERJA PASCABANJIR

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi menggerakkan kerja-kerja pasca banjir selain menambah RM50 juta lagi khusus untuk negeri Selangor dan Pahang bagi tujuan yang sama.

“Peruntukan ini akan digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan pembersihan rumah penduduk dan fasiliti awam yang rosak.

“Pada masa ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama-sama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta kontraktor yang telah dilantik sedang giat menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan yang terkesan dengan bencana banjir,” katanya.

Ismail Sabri meninjau keadaan penduduk di Hulu Langat selepas ditimpa bencana minggu lalu. – Sumber: Facebook

Perdana Menteri berkata, bagi mempercepat kerja-kerja mengutip, membersih dan menghantar sisa banjir ke tapak pelupusan, KPKT telah menambah bilangan sumber tenaga dengan melantik lebih banyak kontraktor untuk turun ke lapangan termasuk kawasan-kawasan yang tidak dapat diakses sebelum ini.

Untuk itu, tambah beliau, kerajaan memperuntukkan RM10 juta tambahan antaranya bagi membiayai perkhidmatan kutipan sisa banjir serta kerja-kerja pembersihan jalan, fasiliti awam dan halaman rumah mangsa.

Katanya, setakat semalam, sebanyak 3,000 tan sisa banjir telah dibersihkan di lima buah negeri yang terkesan iaitu Selangor, Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka yang melibatkan lebih 1,700 tenaga kerja di bawah seliaan KPKT.

AKSES TUNAI

Menurut Perdana Menteri, bagi menambah akses tunai kepada mangsa yang memerlukan, Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan dana keseluruhan RM100 juta telah menawarkan pembiayaan sehingga RM10,000 pada kadar 0 peratus dengan tempoh bayaran balik sehingga 3.5 tahun termasuk moratorium bayaran balik selama enam bulan.

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia juga dengan ketersediaan dana RM500 juta telah menyediakan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) melalui bank komersial iaitu sehingga RM500,000 kepada pengusaha PKS dan sehingga RM75,000 kepada usahawan mikro.

“Tempoh pembiayaan adalah sehingga lima tahun termasuk moratorium bayaran balik sehingga enam bulan dengan kadar pembiayaan sehingga 3.5 peratus setahun. Permohonan untuk pinjaman BSN dan dana DRF telah mula dibuka pada 27 Disember 2021 lalu,” katanya.

Ismail Sabri berkata, dalam tempoh dua hari pertama sahaja iaitu semalam, BSN telah menerima nilai permohonan sebanyak RM25 juta dan sudahpun meluluskan pinjaman bernilai RM10 juta.

Kata beliau, bagi memastikan bantuan yang menyeluruh, di samping bantuan tunai, kerajaan juga akan menyediakan bantuan pembaikan rumah dan kenderaan peribadi serta bantuan keperluan asas kepada mangsa-mangsa banjir.

Seperti diketahui, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan atau GLIC dan Syarikat Berkaitan Kerajaan atau GLC telah menubuhkan GLIC/GLC Disaster Response Network (GDRN) bertujuan menggerakkan usaha
menangani dan menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

Setakat ini, GDRN telah membantu kira-kira 15,000 buah keluarga sejak 19 Disember 2021.

REBAT DAN BAUCAR ELEKTRIK

Selain itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memberikan rebat 100 peratus bil elektrik kepada pengguna domestik yang terkesan akibat banjir bagi bulan Disember 2021.

Menyedari musibah banjir turut menyebabkan kerosakan banyak peralatan elektrik di rumah, sukacita saya umumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk menyediakan pemberian baucar kepada mangsa-mangsa banjir bagi pembelian peralatan elektrik yang telah rosak.

Tambah beliau, setiap KIR yang layak boleh memohon dan mendapatkan baucar bernilai RM500 semasa membuat pembelian sama ada secara fizikal di kedai dan pasar raya berdaftar atau di platform e-dagang yang diiktiraf Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

“Semoga kesemua inisiatif di atas dapat membantu meringankan beban Keluarga Malaysia yang terkesan akibat banjir.

“Sama-sama kita berusaha dan berdoa agar impak bencana banjir ini dapat ditangani dengan segera agar kita boleh menumpukan usaha kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi pada tahun hadapan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan