Wednesday, July 22, 2026

Baik pulih sekolah terjejas banjir akan disegerakan – Radzi

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan menyegerakan kerja-kerja membaik pulih sekolah yang terjejas akibat bencana banjir, kata menteri kanannya, Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, kementeriannya akan memberi perhatian segera terhadap sekolah-sekolah terbabit bagi memastikan pembelajaran dapat dijalankan dengan selamat dan selesa.

“Petang semalam, saya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda, Shah Alam bagi meninjau keadaan infrastruktur sekolah selepas ditenggelami air akibat banjir besar minggu lalu.

“Selain SMK Taman Sri Muda, terdapat lapan buah sekolah lagi dalam kawasan sekitar turut terjejas.

“Di SMK Taman Sri Muda, selain bilik darjah, bilik khas lain yang rosak teruk adalah bengkel, makmal sains dan juga makmal komputer,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, selain beberapa sekolah di kawasan terbabit yang terjejas, difahamkan seramai 34 orang guru sekolah berkenaan juga turut terkesan akibat banjir luar jangka tersebut.

Dalam kejadian hujung minggu lalu, sekitar Shah Alam, Klang, Dengkil, Hulu Langat dan Kuala Lumpur dilanda banjir besar sehingga puluhan ribu penduduk terpaksa dipindahkan dan lebih 20 nyawa terkorban.

Kejadian itu berlaku ketika cuti persekolahan penggal ketiga sedang berjalan.

Semalam, Radzi mengumumkan sesi persekolahan penggal ketiga 2021 yang sepatutnya bermula pada 2 dan 3 Januari, ditangguhkan kepada 9 dan 10 Januari berikutan bencana tersebut.

Walaupun keadaan banjir di Selangor sudah hampir pulih, namun di Pahang dan beberapa negeri lain masih bergelut dengan bencana tersebut.

Sehingga petang semalam lebih 40,000 penduduk dipindahkan dan ditempatkan di PPS di tujuh buah negeri. -Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan