BACAAN paras sungai di tujuh negeri kebanyakanmya masih terkawal, namun sebahagian daripadanya mencatat bacaan paras waspada dan amaran.
Menurut aplikasi MyPublic Infobanjir, hanya sungai di Pahang mencecah bacaan paras amaran (jingga) membabitkan Sungai Bera di Bera, Sungai Kundang di Maran, Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran dan Sungai Pang di Paloh Inai, Pekan.
Manakala Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub dan Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi, Bentong pula berada pada paras waspada (kuning).
Setakat pukul 9 pagi ini, tiada hujan direkodkan di kawasan kelima-lima sungai berkenaan.
Selain itu, status waspada juga dicatatkan di Punan Bah B, Belaga, Sarawak; Sungai Langat di TNB Pangsun, Hulu Langat, Selangor; Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan; Stesen Tapak Pengujian WPKL PRAB F2, Kuala Lumpur; dan Sungai Kesang di Telok Rimba, Jasin, Melaka.
Status sama juga direkodkan tiga sungai di Johor iaitu Sungai Kesang di Telok Rimba, Tangkak; Sungai Muar di Simpang 5 Darat, Tangkak; dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur.
Setakat pukul 9 pagi ini, tiada hujan direkodkan di semua sungai terbabit.-Edisi 9