34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Polis bongkar rumah setinggan jadi stor 40.3 kg ganja

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PASUKAN polis berjaya membongkar kegiatan licik lapan individu yang menjadikan sebuah rumah setinggan di Jalan Melawis, Klang, Selangor sebagai stor simpanan dadah dalam satu serbuan 11 November lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, serbuan pukul 8 malam itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Menurutnya, serbuan itu dijalankan selepas risikan selama sebulan dilakukan terhadap kumpulan serta rumah setinggan berkenaan.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 40.3 kilogram dadah dipercayai ganja yang dianggarkan bernilai RM117,000 dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

“Lapan lelaki tempatan berusia 21 hingga 49 tahun turut ditahan yang ketika serbuan lima daripadanya berada di dalam rumah manakala tiga lagi di hadapan rumah.

“Polis turut menyita sebuah kereta dan sebuah motosikal membabitkan nilai sitaan dianggarkan RM30,000,” katanya pada sidang media di IPD Klang Selatan, hari ini.

Shamsul Amar berkata, suspek dipercayai menjadikan rumah berkenaan sebagai stor untuk memproses ganja yang diperolehi dalam bentuk ketulan satu kilogram kepada paket yang lebih kecil termasuk paket satu gram yang dijual pada harga RM10.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif jenis ganja malah semakan mendapati kesemua lelaki itu mempunyai rekod lampau jenayah serta dadah.

“Hasil maklumat risikan, polis percaya dadah berkenaan adalah untuk pasaran tempatan dan kumpulan ini dipercayai menggunakan rumah setinggan sebagai stor sejak dua bulan lalu.

“Kita juga masih menyiasat dari mana kumpulan berkenaan mendapat bekalan dadah terbabit.

Menurutnya, semua tangkapan ditahan reman lapan hari hingga 19 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-EDISI9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan