24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Percaturan Pas dalam PRN Melaka: Silap atau tepat?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

PERMAINAN politik Malaysia terus bergolak dan tidak pernah selesai. Mungkin itulah yang diboleh digambarkan dengan situasi semasa politik Malaysia pada ketika ini.

Walaupun seluruh negara masih lagi dalam keadaan pandemik COVID-19 yang belum selesai sepenuhnya namun perseteruan politik Malaysia tidak pernah padam.

Ketika penularan COVID-19 merebak, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah diadakan. Setelah itu, darurat telah di isytiharkan yang menyebabkan pilihan raya kecil bagi Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya ditangguhkan.

Malahan PRN Sarawak juga ditangguhkan. Kini politik negara akan berhadapan pula dengan PRN Melaka. Sampai bilakah kegilaan politik ini akan berakhir?

Akhirnya, kita telah bertukar tiga kali Perdana Menteri dalam satu penggal. Mungkinkah rakyat negeri Melaka juga akan menerima Ketua Menteri yang ketiga dalam satu penggal?

Sememangnya PRN Melaka akan menguji setiakawan dan lawan dalam persaingan politik di Malaysia.

Keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pas telah memutuskan untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Melaka. Adakah ini bermaksud Pas melanggar janji Muafakat Nasional (MN)?

MN telah dimeterai ketika Pas dan UMNO ketika menjadi pembangkang dengan semangat air mata orang Melayu yang inginkan perpaduan umat Islam sepenuhnya.

Pada masa kini, sebahagian pemimpin-pemimpin ini telah dilimpahi dengan kehidupan pangkat dan harta.

Adakah bila masing-masing mempunyai kehidupan pangkat dan harta, sibuk dengan urusan dunia, semangat air mata ini telah dilupakan begitu sahaja?

Advertisements

Sampai bilakah kegilaan bangsa Melayu akan terus berpolitik sehingga merugikan agama Islam?

Sejarah politik Pas di Melaka hanyalah kemenangan dua kerusi DUN iaitu Dr Mohd Nor Nordin di DUN Tanjung Minyak (1974) dan Mohd Khalid Kassim di DUN Bukit Baru (2013).

Pada PRU-14, Pas tidak memenangi sebarang kerusi walaupun bertanding 24 kerusi DUN di Melaka.

Sementara Barisan Nasional (BN) memenangi 13 kerusi daripada 28 kawasan DUN yang ditandingi manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi 15 kerusi.

Sebenarnya terdapat beberapa kerusi yang boleh dimenangi pada PRU-14 sekiranya MN berganding bahu bersama dalam pilihan raya iaitu DUN Gadek, Durian Tunggal, Kelebang, Duyong, Telok Mas dan Bemban.

Harus diingatkan bahawa terdapat 23 kerusi DUN majoriti Melayu melebihi 60 peratus di Melaka.

Sekiranya kemenangan di kerusi-kerusi tersebut menjadi kenyataan seharusnya ia akan menjadi titik tolak kerjasama politik MN yang lebih besar dan jauh kehadapan di dalam membela nasib umat Melayu dan agama Islam di Malaysia.

Sebagai parti politik yang terbesar dan tertua seharusnya MN tidak boleh berpisah sama sekali.

Namun, masing-masing boleh bergerak dalam ruang lingkup yang tersendiri dan saling membantu untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

  • Dr Mohd Sadad Mahmud adalah pensyarah kanan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza)

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan