30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Pemandu positif dadah rempuh 7 kereta ditahan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

DUA lelaki ditahan apabila kereta dinaiki mereka merempuh tujuh kenderaan yang sedang menunggu lampu isyarat merah di persimpangan Jalan Kuala Ibai, Kuala Terengganu pada petang Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, pemandu kereta jenis Perodua Axia berusia 30-an itu dipercayai gagal menekan brek dengan baik sehingga merempuh kenderaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, pemandu dan penumpang Perodua Axia yang ditahan berkenaan disahkan positif dadah.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dari arah Chendering menghala ke pusat bandar.

“Selepas turun dari Jambatan Kuala Ibai, difahamkan pemandu kereta berwarna merah itu gagal menekan brek dengan baik.

“Akibatnya, tujuh buah kereta di lokasi berkenaan mengalami kerosakan kecil. Kesemua yang terlibat sudah tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini untuk membuat laporan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian, terdapat dua lelaki iaitu pemandu dan seorang penumpang di tempat duduk hadapan kereta berkenaan.

“Kedua-duanya ditahan dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,”katanya. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan