CYBERJAYA – Susulan penyebaran maklumat palsu berkenaan vaksin Covid-19, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ) telah mengarahkan satu laporan dibuat terhadap seorang pengguna Twitter dikenali sebagai @khalids.
Khairy berkata, laporan terhadap individu berkenaan akan dibuat di Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM).
“Ada masa untuk mendidik dan melibatkan diri. Tetapi, ada juga masa untuk menegakkan undang-undang.
“Saya telah meminta laporan dibuat terhadap @khalids kepada PDRM dan SKMM kerana menyebarkan berita palsu mengenai vaksin Covid-19. Cukuplah berbohong,” kongsinya dalam satu ciapannya hari ini.
Terdahulu, individu terbabit tular di media sosial Twitter selepas menyebarkan maklumat serta dakwaan palsu berkaitan vaksin.
Dia juga mendakwa syarat lengkap vaksinasi bagi pasangan yang ingin berkahwin di Pejabat Agama Islam Daerah di Selangor sebagai diskriminasi terhadap golongan yang enggan divaksin.
Selain itu, pengguna Twitter itu turut berkongsi senarai guru-guru yang meninggal dunia akibat Covid-19 dan mendakwa kesemua guru itu meninggal dunia akibat divaksin tetapi dinafikan oleh kerajaan.
Semakan Edisi 9 di akaun Twitter berkenaan mendapati akuan itu telah dinyahaktif seketika namun kini kembali diaktifkan.
-EDISI9