25.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

SK Penderas dijadikan PKRC khusus Orang Asli

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TEMERLOH – Sekolah Kebangsaan (SK) Penderas, Kuala Krau dekat sini menjadi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) khusus buat masyarakat Orang Asli di sekitar kawasan berkenaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, PKRC berkenaan mampu menempatkan kira-kira 500 pesakit di asrama sekolah dan kelas yang diubahsuai.

“PKRC di sekolah ini mula dibuka sejak semalam dan sekarang telah menempatkan 184 pesakit Covid-19 Orang Asli sekitar Kuala Krau.

“Kita boleh menempatkan 200 pesakit di asrama dan 300 pesakit lagi kita akan tempatkan di dalam kelas yang diubah suai mengikut keperluan semasa dan situasi Covid-19 dalam kalangan masyarakat Orang Asli di kawasan sini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau PKRC Sekolah Kebangsaan Penderas, Kuala Krau hari ini.

Mahdzir ketika meninjau PKRC di Sekolah Kebangsaan Penderas, Kuala Krau hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri Dalam Negeri 1 yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Ahmad Jailani Muhamed serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Sapiah Mohd Nor.

Sementara itu, Mahdzir berkata, pembukaan pusat kuarantin khas untuk Orang Asli itu mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan dikelolakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JAKOA.

Menurutnya, sejumlah 1,133 masyarakat Orang Asli di 10 buah perkampungan sekitar Kuala Krau dijangkiti Covid-19 dengan rekod empat kematian.

“Perkampungan Orang Asli Kampung Penderas dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 10 hingga 25 September ini selepas 120 penduduk Orang Asli dijangkiti wabak itu.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata, sejumlah 134, 494 masyarakat Orang Asli sudah menerima vaksin dan daripada jumlah itu, 77,970 orang telah menerima dos pertama manakala 50,734 orang telah lengkap kedua-dua dos.

“Selain itu, seramai 5,790 individu Orang Asli telah menerima vaksin jenis CanSino. Baki yang masih belum divaksin sedang diusahakan untuk menerima vaksin secepat mungkin,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan