30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Malaysia berada di landasan betul hasil perancangan kerajaan PN

Mesti Baca

CYBERJAYA – Malaysia kini berada dalam landasan yang betul untuk keluar dari pandemik COVID-19 berkat perancangan rapi kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak awal tahun lalu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tanda-tanda pemulihan yang samar-samar sebelum ini sudah semakin jelas di hadapan mata.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, paling ketara adalah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang menyaksikan kadar vaksinasi negara antara yang terpantas di dunia.

“Terkini, lebih 73.4 peratus populasi dewasa Malaysia atau lebih 17 juta individu sudah lengkap divaksin. Manakala sebanyak 91.3 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

“Ini bermakna, kita sudah semakin hampir untuk mencapai imuniti kelompok. Syabas rakyat Malaysia!” katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.

Pengerusi PN dan Presiden Bersatu itu mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Mac 2020 ketika pandemik COVID-19 baru bermula dan meninggalkan jawatannya pada 16 Ogos lalu.

Muhyiddin berkata, hasil pencapaian program vaksinasi, kini aktiviti sosioekonomi kembali rancak dengan hampir semua negeri kecuali Kedah dan Johor sudah beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perkembangan ini menyaksikan pergerakan rakyat lebih bebas dengan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang masih berkuatkuasa namun telah banyak kelonggaran yang diberikan.

“Terbaharu, gelembung perjalanan atau travel bubble diperkenalkan untuk menggiatkan semula sektor pelancongan dengan Langkawi menjadi destinasi pertama.

“Saya difahamkan hampir semua tempahan hotel di Langkawi sudah penuh. Ini adalah permulaan yang baik untuk sektor pelancongan negara,” kata beliau.

Muhyiddin berkata, belia yakin dan percaya rakyat Malaysia mampu mencipta keajaiban dengan membawa negara keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi kesan daripada pandemik tersebut.

Katanya, selaku Pengerusi MPN, beliau akan memastikan setiap perancangan untuk merancakkan semula aktiviti sosioekonomi negara dibuat secara komprehensif, teratur dan lestari.

“Yang penting setiap rakyat haruslah dapat merasai nikmat dan manfaat daripadanya selaras dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Berhubung perayaan Hari Malaysia tahun ini, Muhyiddin menganggap ia adalah sambutan yang istimewa kerana pada tahun kita semua memasang azam dan iltizam untuk keluar dari pandemik, tinggalkan ketakutan dan bangkit kembali daripada kepedihan setahun lampau.

Beliau turut mengajak semua pihak bersatu hati sebagai satu bangsa demi mencapai matlamat bersama memenangi perang melawan COVID-19 untuk membebaskan negara kita daripada kancah krisis kesihatan.

“Marilah kita bersama-sama menggembeleng tenaga dan berganding bahu membina semula ekonomi dan kehidupan kita pasca pandemik. Semoga hari esok membawa sinar yang menerangi kehidupan kita semua, Insya-Allah,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan