33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Pertimbang permintaan pekebun kecil tukar tanaman komoditi

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PADANG TERAP – Permintaan seramai 360 pekebun kecil getah di Felda Lubuk Merbau untuk menukar tanaman asal dari getah ke kelapa sawit ketika melakukan penanaman semula tahun depan, bakal dipertimbangkan di peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, permohonan itu akan diperhalusi kerana ianya turut melibatkan dasar kementerian dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

“Permohonanan untuk penanaman semula ini sebenarnya sudah dibuat lama tetapi ‘sangkut’ di zaman Pakatan Harapan (PH) sebelum ini. Jadi selepas ini insya Allah kita akan laksanakan semula untuk mereka.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas diberikan taklimat mengenai program tanam semula di Dewan Mesyuarat Pusat Pentadbiran Komuniti Felda Lubuk Merbau di sini, hari ini.

Mahdzir berkata, antara faktor permohonan untuk menukar tanaman getah ke kelapa sawit adalah kerana perbandingan harga antara kedua-dua komoditi tersebut yang menyaksikan harga kelapa sawit lebih tinggi daripada getah.

“Keduanya faktor tenaga kerja sebab kalau hendak menoreh, perlu ada pekerja tetap. Kalau tak hujan, memang nak kena menoreh getah hari-hari, tapi kalau kelapa sawit tu maknanya bukan hari-hari, itu bezanya”.

Mahdzir ketika diberikan taklimat mengenai program tanam semula di Dewan Mesyuarat Pusat Pentadbiran Komuniti Felda Lubuk Merbau di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Risda Kedah, M. Azmi Mohd, Pengarah Wilayah Felda Alor Setar, Wan Zamri Wan Yusuf serta Pengurus Felda Lubuk Merbau, Mohd. Nordin Abd. Rahman.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, jumlah tanah felda yang terlibat dalam permohonan penukaran tanaman dari getah ke kelapa sawit di felda itu, berkeluasan hampir 402 hektar.

“Selain itu, terdapat juga permohonan dari 56 peneroka untuk melakukan penanaman semula kelapa sawit di atas tanah seluas kira-kira 183 hektar.

“Semua tanaman semula itu yang dirancang untuk dilaksanakan pada tahun depan, merupakan program untuk fasa satu.

“Manakala untuk program tanaman semula fasa kedua pula, ia akan dilaksanakan pada 2023 melibatkan 231 peneroka,” katanya.

Fasa kedua itu jelas beliau, membabitkan keluasan ladang hampir 754 hektar.

Pihak peneroka juga membuat permohonan untuk bantuan sara hidup bagi tempoh proses penanaman semula komoditi itu.

-EDISI9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan