36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Pembayaran BKC tanda kerajaan tunai janji – Mahdzir

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Pembayaran Bantuan Khas Covid-19 (BKC) mulai 6 September ini menunjukkan kerajaan menunaikan janjinya sebelum ini yang diumumkan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, berdasarkan angka penduduk luar bandar yang berjumlah 7.61 juta orang, sebahagiannya merupakan tergolong dalam kelompok Miskin Tegar, B40 dan M40.

Menurutnya, penyaluran BKC dilihat sebagai tepat pada masanya dalam usaha kerajaan meringankan beban golongan terbabit yang terkesan dengan wabak pandemik Covid-19.

“Pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob berkaitan pembayaran Fasa 1 dan 2, BKC berjumlah RM3.1 Bilion secara berperingkat itu disifatkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan pimpinan beliau.

“Pembayaran dua fasa membabitkan golongan iaitu Miskin Tegar, B40 dan M40 serta bujang itu juga mencerminkan kecaknaan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia terhadap rakyat berpendapatan rendah dan juga selaras dengan konsep kita sebagai sebuah Keluarga Malaysia,” katanya.

YB Menteri KPLB berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Menteri Pembangunan Luar Bandar di Bangunan KPLB Putrajaya hari ini.

Mahdzir berharap bantuan tersebut akan dapat melegakan dan sedikit sebanyak meringankan beban perbelanjaan dan kos sara hidup golongan penerimanya.

Sementara itu dalam perkembangan situasi bencana di Kedah, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyatakan amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh penduduk di daerah Yan dan Sik yang terjejas dengan bencana kepala air baru-baru ini.

Menurut Mahdzir, bencana berkenaan telah mengorbankan seramai lima orang mangsa dalam kejadian yang berlaku pantas akibat daripada jumlah taburan hujan yang turun dengan banyak di kawasan tersebut.

“KPLB telah mengkoordinasikan Bahagian Kesejahteraan Rakyat, KPLB dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dalam usaha untuk menyalurkan bantuan bagi meringankan beban yang perlu ditanggung oleh penduduk yang terjejas akibat bencana tersebut.

“Sebagaimana pengumuman Perdana Menteri, KPLB telah menyediakan peruntukan sehingga RM3 juta bagi tujuan pembaikan rumah mangsa bencana,” kongsinya.

Sehingga kini menurutnya, KPLB telah membuat penilaian kerosakan melibatkan 40 buah rumah dengan anggaran kos pembaikan sebanyak RM550 ribu.

“Usaha mengenalpasti kerosakan dan keperluan pembaikan rumah mangsa yang lain sedang giat dilaksanakan.

“KEDA pula telah menyalurkan peruntukan berupa sumbangan kewangan kepada Kerajaan Negeri Kedah berjumlah RM 10,000.

Selain itu menurutnya, Bantuan Skuad Prihatin KEDA (Sukarelawan) seramai 100 orang telah turun sebanyak dua kali dalam membantu aktiviti pembersihan rumah yang terlibat bencana.

“KEDA juga memperuntukkan RM 100,000 untuk bantuan barangan dan peralatan keperluan yang mana siasatan sedang dilaksanakan.

Menurutnya, KPLB akan memastikan peruntukan berkenaan digunakan untuk meringankan beban penduduk yang terlibat.

“Kita ucapkan takziah kepada mangsa yang kehilangan ahli keluarga disebabkan bencana ini.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan