32.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

MOTAC, MKN diharap segera keluarkan SOP pengusaha galeri

Mesti Baca

KEMAMAN – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) digesa agar menyegerakan mengeluarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi pengusaha galeri seni dan muzium.

Perkara itu dibangkitkan pengusaha Muzium 3D Kertih, di sini yang masih menunggu SOP tersebut walaupun kerajaan sudah memberi kebenaran kepada galeri seni dan muzium untuk beroperasi.

Menurut Pengurusnya, Abd Halim Ismail, sebagai pengusaha galeri seni dan ilusi 3D pertama di Terengganu, beliau masih menunggu kebenaran daripada pihak MOTAC dan MKN untuk kembali beroperasi setelah ditutup sejak Jun lalu.

Katanya, walaupun Perdana Menteri sudah mengumumkan kebenaran beroperasi kepada pengusaha galeri seni yang dikategori sebagai sektor industri kreatif bagi negeri-negeri dalam Fasa 1, tetapi di Terengganu yang berada di Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih belum dibenarkan.

“Kami memahami pihak MOTAC dan MKN perlu menyiapkan garis panduan dan SOP khusus bagi pengusaha seperti kami, justeru kami harap ia dapat disegerakan.

“Kalau mengikut kenyataan Perdana Menteri, kami sudah boleh kembali membuka galeri kami sejak kelmarin, tetapi nampaknya terpaksa ditangguhkan lagi sehingga mendapat lampu hijau daripada pihak MOTAC dan MKN bagi mengelak perkara tidak diingini,” katanya kepada Edisi 9 di sini.

Advertisements

Beliau mengulas keputusan kerajaan melonggarkan SOP bagi industri kreatif mulai 9 September antara lain termasuk aktiviti pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni secara temu janji dengan jumlah pengunjung dihadkan kepada 30 peratus ruang galeri.

Abd Halim berkata, Muzium 3D Kertih dibuka sejak 2 Januari lalu dan terpaksa ditutup sementara pada Jun berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 beberapa sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu.

Katanya, sehingga kini pihaknya terpaksa menangguh kos operasi terutama bayaran sewa premis, utiliti dan gaji pekerja sedangkan galeri tidak dibuka kepada pengunjung.

“Sehingga kini kami terpaksa mengeluarkan simpanan untuk menanggung kos operasi kami sedangkan sudah hampir 4 bulan kami tidak dapat membuka galeri kami,” katanya.

Justeru, beliau amat berharap langkah segera diambil oleh pihak berkenaan bagi membolehkan pengusaha galeri seni seperti beliau dapat kembali bernafas, sekali gus mendukung gelembung pelancongan sepertimana diumumkan kerajaan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan