28.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Mahkamah tolak rayuan Najib gugurkan Gopal Sri Ram

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini, sebulat suara menolak rayuan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menggugurkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam perbicaraan kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Keputusan menolak permohonan rayuan tersebut dibuat Mahkamah Rayuan dibarisi panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, dipengerusikan Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan dalam beberapa perbicaraan berkaitan 1MDB terhadap Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, antaranya kes pindaan laporan audit 1MDB dan kes rasuah dana RM2.28 bilion.

Terdahulu, pada 28 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Najib dan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi menggugurkan Sri Ram selaku TPR Kanan dalam kes masing-masing.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mariana Yahya (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan pelantikan Sri Ram sebagai TPR Kanan oleh Peguam Negara (AG) ketika itu Tan Sri Tommy Thomas sebagai sah.

“Adalah jelas bahawa AG telah membuat pertimbangan yang teliti sebelum melantik Sri Ram sebagai TPR Kanan untuk mengetuai pendakwaan berkaitan skandal 1MDB berdasarkan pengalaman luas Sri Ram dalam bidang perundangan,” kata Mariana ketika menolak permohonan Najib dan Muhammad Shafee, lapor AgendaDaily.

Pada Disember 2018, Najib memfailkan semakan kehakiman bagi mengetepikan Sri Ram sebagai TPR Kanan dalam kes berkaitan 1MDB membabitkan beliau.

Muhammad Shafee pula memfailkan semakan kehakiman bagi menggugurkan Sri Ram daripada kes pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang dihadapinya.

Kedua-dua mereka juga memohon perintah mahkamah bagi membatalkan pelantikan Sri Ram atau menggugurkan beliau atas alasan surat lantikan itu tidak sah.

Mereka juga mahu pengisytiharan bahawa wujud konflik kepentingan dalam pelantikan Sri Ram dan memohon satu perintah untuk melarang beliau daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes mereka termasuk mengenai rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram. – Edisi 9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan