24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Pertemuan Ismail Sabri dan Najib cetus spekulasi baharu

Mesti Baca

CYBERJAYA – Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Najib Tun Razak di Perdana Putra semalam telah mencetuskan spekulasi baharu.

Ini berikutan muncul dakwaan bahawa bekas Perdana Menteri itu akan dilantik oleh Ismail Sabri sebagai Penasihat Ekonomi bertaraf menteri.

Utusan TV yang memetik sumber melaporkan, walaupun perkara itu tidak dinyatakan oleh Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebooknya semalam tetapi “pengumuman mengenainya akan dibuat tidak lama lagi”.

Perdana Menteri melalui Facebooknya berkata, dalam pertemuan lebih sejam itu mereka  telah membincangkan tentang cabaran ekonomi dalam dan luar negara termasuk strategi mendepani pandemik Covid-19.

“Datuk Seri Najib komited dalam menyumbangkan tenaga, masa dan idea untuk bersama-sama sebagai satu pasukan demi Keluarga Malaysia tercinta,” katanya.

Kenyataan Ismail Sabri itu membayangkan kemungkinan Najib akan berada dalam “pasukan” beliau secara rasmi, yang berkemungkinan sebagai penasihat ekonomi.

Advertisements

Bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memberikan sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri telah meletakkan syarat agar beliau tidak melantik mana-mana pemimpin yang mempunyai kes mahkamah dalam Kabinetnya.

Walaupun sehingga kini belum ada mana-mana pemimpin berkenaan memegang sebarang jawatan dalam Kabinet, namun spekulasi terbaru ini menimbulkan persoalan banyak pihak.

Ini kerana Najib merupakan antara pemimpin yang didakwa berada dalam ‘Kluster mahkamah’ kerana berhadapan pelbagai tuduhan rasuah dan salah guna kuasa berkaitan dana SRC International dan 1MDB.

Semalam, Utusan Malaysia pula melaporkan Datuk Seri Ahmad Maslan, seorang lagi pemimpin yang mempunyai kes mahkamah, akan dicadang sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ahmad yang dihubungi Edisi 9 bagaimanapun enggan mengulas mengenainya dan mencadangkan agar menghubungi pejabat Speaker atau Timbalan Speaker, Datuk Abdul Rashid Hasnon. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan