CYBERJAYA – Majlis Belia Malaysia (MBM) menyeru kerajaan dan blok pembangkang terus konsisten mematuhi perjanjian persefahaman dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara di hadapan.
Presidennya, Jufitri Joha berkata, dalam masa sama, pihaknya mahu pemimpin menggunakan kesempatan ini untuk terus membantu rakyat, mentransformasikan pentadbiran negara dan melawan rasuah dan memajukan Malaysia yang dilihat ketinggalan berbanding negara jiran.
Menurutnya, MBM mengekori rapat perkembangan pasca termeterainya persefahaman (MoU) antara Kerajaan dan pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) yang boleh disifatkan sebagai bersejarah yang membawa kepada perdamaian nasional.
“Dalam tempoh pemulihan dan peralihan kepada endemik sekarang, sikap
lapang dada anggota legislatif di kedua-dua blok amatlah dihargai.
“Keutamaan untuk mengerah segala perhatian dan komitmen terhadap menangani bebanan dihadapi rakyat, memastikan negara berada pada tempoh stabil serta menyahut titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ternyata dizahirkan,” katanya menerusi kenyataan media di sini.
Beliau berkata, sidang Dewan Rakyat yang telah bermula seminggu dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai medan perbahasan terbuka, telus dan berakauntabiliti seperti yang terkandung dalam komitmen MoU berkenaan.
“Faedahnya kembali kepada rakyat apabila budaya ketelusan ini
diamalkan dengan mengenepikan sementara risiko dan kelicikan politik.
“Diharapkan seperti yang terkandung dalam MoU berkenaan tidak akan diadakan Pilihan Raya menjelang Julai 2022 akan direalisasikan untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada isu rakyat yang sedang menderita.
“Seperti terdapat dalam peribahasa Melayu “bulat air dek pembetung, bulat manusia dek muafakat”, sikap lapang dada dan jiwa besar para pemimpin di atas ini diharapkan membawa limpahan kemakmuran bersama,”katanya.
Ujar beliau, sehingga hari ini, gencatan politik diyakini mampu meyakinkan para pelabur, pemodal dan syarikat industri untuk kembali memilih Malaysia sebagai medan pelaburan.
“Justeru itu, MBM akan terus menjadi kumpulan penengah yang akan memainkan peranan sebagai rakan aktif pembangunan negara termasuklah menjadi kumpulan pemantau awam untuk memastikan amanah pentadbiran negara diurus dengan baik dan kestabilan politik
dijana dan kesejahteraan terus dikecapi.- Edisi 9