33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Azalina akan bawa usul RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said akan membawa Usul Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk Rang Undang-undang (RUU) Ahli yang Bukan Ahli Kerajaan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Beliau mengharapkan dengan pembentangan usul ini, ia akan menjadi titik permulaan untuk memperkenalkan Pilihanraya Pecat atau “Recall Election” di dalam sidang Parlimen September 2021 depan.

Di samping itu, Azalina juga berhasrat untuk mencadangkan penubuhan “Kaukus Reformasi Parlimen dan Demokrasi Pelbagai Parti” di antara Ahli- ahli Parlimen yang berminat.

Menurutnya, ini adalah untuk memperkasakan Institusi Parlimen dan memartabatkan Demokrasi Berparlimen di negara.

Mengulas lanjut mengenai usul tersebut, katanya, bentuk terbaik untuk undang-undang mencegah lompat parti adalah dengan memperkenalkan Akta Pemecatan Ahli Parlimen (Recall Act) di mana pengundi boleh menarik balik mandat yang telah diberikan kepada wakil rakyat yang membelakangi mereka.

“Oleh itu, hak untuk memilih wakil rakyat yang baharu atau mengekalkan wakil rakyat tersebut dikembalikan semula kepada pengundi.

“Saya amat berbesar hati dengan perbincangan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama blok pembangkang dan bebas untuk memperkenalkan undang-undang mencegah lompat parti,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Azalina berkata, setelah 64 tahun negara meraikan kemerdekaan tanah air, kini terdapat gejala berleluasa di mana wakil-wakil rakyat membelakangi bukan sahaja parti politik yang memberikan watikah pencalonan kepada mereka, tetapi juga masyarakat akar- umbi yang bersusah payah meraih undi dari pintu ke pintu.

“Malah, rakyat yang telah membuang undi untuk wakil rakyat tersebut di atas kepercayaan perwakilan mereka sebagai wakil parti politik dan manifesto yang dijanjikan.

“Dalam situasi itu, ramai mempersoalkan, apa ertinya mengundi jika wakil rakyat boleh memajak- gadaikan mandat rakyat selepas pilihanraya.

“Justeru, pemimpin generasi saya harus menerima persaingan antara parti-parti politik sebagai sesuatu yang positif dan menguntungkan rakyat.

“Jika persaingan ini berdasarkan peraturan permainan (Rules of the Game) yang munasabah, dan bukan dicetuskan dari perpecahan parti politik yang memudaratkan.

“Persaingan politik perlu dimurnikan – bukan dihapuskan, ditekan, di isi dengan kebencian ataupun dihuru-harakan,”katanya.

Jelas beliau, demi kemajuan negara, pemimpin politik generasi negara kini dan generasi lebih muda, mesti berani bermuafakat dan berpakat untuk menjadikan politik sesuatu pilihan kerjaya yang profesional, yang dihormati dan disegani, bukan dikeji dan dicaci.

“Tanggapan rakyat terhadap ahli-ahli politik hari ini sangat memalukan dan secara peribadi, saya terkilan dengan keadaan ini,”katanya. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan