25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Gara-gara Murai Cerek, lelaki parah ditetak

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Seorang lelaki putus ibu jari tangan kanannya akibat ditetak tiga lelaki dalam kejadian di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Yunus di Kampung Pauh Jabit, Tawang, Bachok, Kelantan, semalam.

Mangsa berusia 42 tahun dipercayai diserang dengan golok dan pedang dilaporkan mengalami kecederaan parah di kepala, badan dan kaki.

Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Suprintendan Mohammad Ismail Jamaluddin berkata, punca kejadian dipercayai akibat pergaduhan membabitkan burung peliharaan jenis Murai Cerek milik mangsa yang dikatakan dicuri seorang lelaki bernama Farid dua hari yang lalu.

Katanya, polis menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 berhubung kejadian itu pada jam 5.35 petang.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dikatakan ingin mencari Farid untuk berbincang tentang kecurian burung tersebut.

“Mangsa datang ke tempat kejadian iaitu rumah seorang rakan Farid kerana Farid dikatakan sering melepak di situ, tetapi Farid tidak ada di tempat kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, berlaku pergaduhan antara mereka menyebabkan tiga lelaki menetak mangsa dengan menggunakan golok dan pedang.

“Akibatnya, mangsa mengalami putus ibu jari tangan kanan, luka di bahagian atas kepala, di bahagian betis kanan dan lutut kiri.

“Mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Ujar beliau, susulan itu polis giat mengesan tiga lelaki yang terbabit bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

“Ketiga-tiganya dikenalpasti identiti dan usaha mencari mereka sedang dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan menggunakan parang,” katanya.

-EDISI9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan