30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Perjanjian lupus pinjaman peneroka Felda mesti telus

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Pemuda UMNO Johor menggesa pengurusan Felda agar bersikap telus dalam soal perjanjian pelupusan sebahagian pinjaman peneroka.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, langkah itu perlu diambil bagi mengelakkan timbul masalah kemudian terutamanya kepada generasi pewaris.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau hari ini:

Minggu lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat dan menurut beliau, persetujuan itu mengambil kira isu hutang peneroka yang disifatkan harus diperbetulkan terlebih dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau ‘restart’ Felda.

Berdasarkan inisiatif berkenaan, purata bayaran balik pinjaman dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 hingga RM1,000, kepada hanya RM250 hingga RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah.

Namun, saya difahamkan beberapa hari selepas pengumuman itu, pegawai-pegawai Felda di tanah rancangan mula bergerak rumah ke rumah peneroka untuk pastikan setiap peneroka bersetuju dan menerima penghapusan hutang ini dengan menurunkan tanda tangan mereka ke atas perjanjian yang dibawa.

Kenapa begitu tergesa-gesa melaksanakan perkara ini, meminta tanda tangan peneroka serta-merta seperti ‘memaksa’ tanpa ada penerangan ada sesi perjumpaan atau hebahan bagi membolehkan peneroka, generasi yang mewarisi peneroka dan seluruh warga Felda mendapat maklumat dan penerangan yang sebenarnya!

Jangan cuba wujudkan jurang atau ‘gap’ informasi seperti ini, apabila wujud jurang atau ‘gap’, jangan pula dimarahkan peneroka atau warga Felda apabila muncul persoalan, persepsi atau andaian, kerana anda sendiri, kerajaan dan pengurusan Felda yang mewujudkan ruang untuk semua andaian dan persepsi ini muncul.

Perkara seperti ini bukan kali pertama berlaku, sebelum ini juga pernah membabitkan permintaan tandangan daripada peneroka, jadi belajarlah daripada kesilapan sebelum ini, jangan terus aniaya dan jadikan peneroka Felda mangsa ‘polisi baharu’ yang menjerat mereka sendiri.

Jika benar inisiatif diumumkan ini tidak membabitkan pengambil alihan semula tanah atau pelbagai lagi persoalan dan dakwaan yang timbul sekarang ini, nyatakan kebenaran dan perjelaskan kepada warga peneroka.

Seperkara lagi yang mahu dibangkitkan Pemuda UMNO Negeri Johor adalah pengumuman ini seolah-olah memperlihatkan pengurusan Felda tidak adil kepada peneroka-peneroka yang mempunyai baki hutang yang sedikit, dilupuskan pinjaman, tetapi perlu diserahkan pula tanah, berbanding peneroka yang masih memiliki jumlah hutang yang tinggi dan rasa berbaloi untuk dilupuskan hutang. Sepatutnya satu terma lain perlu diberikan buat peneroka yang tidak memiliki hutang yang banyak atau baki hutang yang sedikit supaya hak lebih adil buat mereka dapat diberikan.

Justeru, kami Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor mendesak supaya pengurusan Felda meletakkan satu tempoh masa baharu untuk ‘tarikh tutup’ proses mendapatkan tandatangan semua peneroka iaitu pada 23 Julai ini, anjakkan ke suatu tarikh yang sesuai bagi memberi ruang untuk penjelasan dan sesi hebahan/penerangan dapat dibuat ke setiap Tanah Rancangan.

Jelaskan juga apa syarat atau terma yang akan dikenakan tanpa ada sorok dan selindung supaya tidak berlaku masalah di kemudian hari dan pada masa akan datang kepada pewaris dan generasi baharu Felda. – EDISI 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan